Pengusaha Adam Char Kuey Teow terkenal di Permatang Pauh maut kemalangan

Dewi Nur Harasha Alias
April 20, 2021 05:34 MYT
Penunggang Honda CBR 1000, yang juga peniaga char kuetiau, Zamri Juhari, meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto PDRM
SEBERANG JAYA: Seorang pengusaha char kuetiau terkenal di Permatang Pauh maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 133.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) lewat petang Selasa.
Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, mangsa Zamri Juhari, 33 tahun, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 1000 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad memaklumkan kemalangan turut melibatkan sebuah motosikal lain dan sebuah kereta.
Shafee berkata, menurut saksi, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dari arah Seberang Jaya dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
"Pemandu kereta berusia 52 tahun,yang dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua yang berada di lorong laju terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri kereta dipandunya.
“Pemandu kemudian mendapati sebuah motosikal berkuasa tinggi telah terbabas ke kiri jalan," kata Shafee dalam kenyataan lewat malam tadi.
Menurut polis, Zamri merupakan pemilik Adam Char Kuey Teow.
Manakala sebuah motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki berusia 24 tahun pula tidak sempat mengelak motosikal mangsa lalu terjatuh.
"Akibat kemalangan itu, penunggang Yamaha Y15 cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.
"Penunggang Honda CBR 1000 yang juga peniaga char kuetiau meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke HSJ untuk urusan bedah siasat,” kata Shafee lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Zamri Juhari #kemalangan #maut #Motorsikal #Shafee Abd Samad #char kuetiau #hilang kawalan #terbabas #Seberang Jaya #Sungai Dua #Permatang Pauh #motosikal berkuasa tinggi #Adam Char Kuey Teow
;