Pengurusan Zakat Selangor bantu ramai asnaf, jadi contoh negara luar
Bernama
Disember 29, 2023 17:48 MYT
Disember 29, 2023 17:48 MYT
SHAH ALAM: Inovasi pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor berjaya memberi manfaat kepada ramai umat Islam terutamanya golongan asnaf di negeri itu selain kini menjadi contoh kepada beberapa negara luar.
Menurut teks khutbah jumaat yang dikeluarkan oleh Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor hari ini, kemampuan pengurusan zakat di negeri ini telah memberi keterujaaan dan contoh kepada banyak negara seperti Indonesia dan Thailand.
Khutbah yang bertajuk "Zakat Payung Negara" itu antara lain menyatakan bahawa dengan kemampuan mengagihkan zakat berjumlah RM1.05 billion dan kutipan zakat RM1.07 billion tahun lepas, ia jelas menunjukkan pengurusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) benar-benar dipercayai ramai.
Menurutnya 6,000 orang asnaf berjaya keluar dari kemiskinan dan menjadi usahawan hasil wang zakat selain bantuan juga disalurkan untuk pendidikan dari pra sekolah hingga ke universiti dan mampu melahirkan golongan profesional pelbagai bidang dari kalangan anak-anak asnaf.
Tambahnya di Selangor terdapat ramai ikon asnaf zakat yang menempa nama sebagai manusia teladan termasuk Prof Madya Datuk Dr Farid Ravi Abdullah, yang kini merupakan Naib Canselor Universiti Islam Selangor.
-- BERNAMA