Pengurusan vaksin COVID-19, adakah Malaysia sudah bersedia?

Mohd Azmi Abdul Hamid
Januari 29, 2021 10:23 MYT
Maklumat mengenai langkah program vaksinasi masih tidak kedengaran dan tidak dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat. - Gambar fail
KAMI mengikuti perkembangan beberapa negara di dunia yang sudah melaksanakan vaksinasi secara besar-besaran termasuk negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Bangladesh.
Sehingga kini program vaksin telah dilaksanakan di lebih 37 negara antaranya Amerika Syarikat (AS), Rusia, India dan China, akan tetapi belum digerakkan di Malaysia.
Maklumat yang dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hanya menyebut perjanjian pembekalan dan harga dengan dua syarikat telah dimeterai.
Akan tetapi butir perjanjian masih dirahsiakan.
Melihat kepada betapa rumitnya pelaksanaan vaksinasi massa kepada ratusan juta rakyat di beberapa negara seperti US, China dan UK, kami khuatir Malaysia akan berdepan pengurusan vaksinasi yang jauh lebih getir jika rakyat dan kerajaan tidak dipersiapkan.
Program vaksinasi untuk melindungi rakyat daripada koronavirus sudah bermula secara global untuk memerangi pandemik yang telah membunuh lebih 2 juta orang dan menjangkiti lebih 100 juta penduduk dunia.
Ketika PKP pelbagai peringkat dilaksanakan di Malaysia termasuk darurat, peningkatan COVID-19 melonjak naik sehingga lebih 700 maut dan lebih 190,000 kes tersebar di seluruh negara.
Soalnya, sementara rakyat masih perlu patuh kepada arahan kerajaan, namun maklumat mengenai langkah program vaksinasi masih tidak kedengaran dan tidak dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat.
Kekhuatiran kami jika rakyat tidak jelas bagaimana operasi vaksinasi akan dilaksanakan, kekeliruan dan kerumitan akan berlaku.
Negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom jelas berdepan dengan keadaan rumit dalam bekalan, pengedaran dan pemberian vaksin COVID-19.
Sudah tentu negara seperti Malaysia belum cukup bersedia menggembleng aparatus kerajaan, agensi kesihatan, wakil rakyat, organisasi sivil dan rakyat sendiri.
Kami senaraikan sejumlah persoalan di bawah untuk segera mendapat penjelasan daripada kerajaan:
1. Apakah maklumat lengkap mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin COVID-19 sudah diperoleh?
2. Bila maklumat itu akan dimaklumkan kepada umum?
3. Syarikat mana dan bagaimana perjanjian harga dan bekalan vaksin sudah ditentukan?
4. Bagaimana logistik pengedaran dan kemasukan vaksin ke Malaysia diuruskan?
5. Apa modus operandi (mekanisme) pengedaran dan penjadualan suntikan vaksin akan dilaksanakan?
6. Apa tempoh dan jadual vaksinasi sudah dirancang oleh pihak KKM untuk seluruh negara?
7. Apa sasaran bilangan vaksinasi untuk seluruh rakyat Malaysia dan dalam tempoh berapa mana?
8. Bagaimana rancangan vaksinasi satu dos atau dua dos akan dilaksanakan?
9. Bagaimana hendak mengelak operasi vaksinasi menjadi terlalu panjang dan orang berebut untuk mendapat suntikan vaksin?
10. Berapa banyak pusat vaksinasi sudah dikenal pasti di seluruh negara?
11. Berapa kakitangan dijangka akan digunakan untuk proses vaksinasi?
12. Bila jangka tarikh vaksinasi bermula?
13. Golongan mana yang akan diutamakan dalam proses vaksinasi?
14. Bagaimana keselamatan vaksin dijaga di setiap pusat dan apa keupayaan stor yang sedia ada untuk menyimpan dan memastikan vaksin tidak rosak?
15. Bagaimana vaksinasi golongan PATI akan dilakukan?
16. Bila percubaan vaksinasi untuk mengesan keberkesanan akan dilakukan sebelum vaksin dilulus?
Kerajaan tidak harus terperangkap dalam sindrom penafian menghadapi krisis yang sangat luar biasa ini.
BACA: Ikuti perkembangan terkini Vaksin COVID-19
Semua pihak perlu dilibatkan dalam usaha mencari kaedah terbaik merancang pelaksanaan vaksinasi nasional dengan segera.
Kami berpendapat sungguhpun kebergantungan Malaysia kepada bekalan vaksin dari luar amat tinggi, langkah pencegahan dan juga mencari rawatan alternatif perlu diusahakan.
Kami juga mengesa sepatutnya mulai sekarang sistem kesihatan awam pasca COVID-19 perlu dirancang.
Dengan kerosakan alam sekitar serta budaya hidup penduduk dunia kini sedang mendedahkan manusia kepada virus baharu, maka rancangan proaktif perlu disiapkan mulai dari sekarang.

Penulis merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#COVID-19 #ujian keberkesanan vaksin #program vaksinasi
;