Pengurusan Utusan dikenakan tindakan jika langgar undang-undang
Bernama
Oktober 10, 2019 18:54 MYT
Oktober 10, 2019 18:54 MYT
Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang menghentikan operasinya berkuat kuasa semalam berdepan dikenakan tindakan jika didapati tidak mengikut peraturan sewajarnya dalam urusan melibatkan kakitangan syarikat, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
"Mereka perlu ikut undang-undang, (jika) mereka tidak patuhi undang-undang kita akan ambil tindakan perlu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.
Syarikat berusia 80 tahun itu menghentikan operasi susulan masalah kewangan, dan semalam (9 Oktober) juga adalah tarikh akhir bekerja buat semua kakitangannya.
Mereka dilaporkan tidak menerima surat pemberhentian pekerjaan dan sebaliknya diberitahu untuk mengambil cuti sehingga hujung bulan - tindakan yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka.
Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata kementeriannya kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengkaji semula dan menyenaraikan bidang pekerjaan yang mempunyai prospek yang cerah.
Katanya, ini dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk menentukan pilihan kerjaya seiring dengan perkembangan teknologi.
-- BERNAMA