Pengurusan tekanan petugas kesihatan sekarang mencukupi - Dr Zaliha

Bernama
Jun 19, 2023 14:50 MYT
Dr Zaliha berkata isu kesihatan mental sentiasa menjadi keutamaan KKM dan turut digariskan di tonggak kedua Kertas Putih Kesihatan (HWP). - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kaedah pengurusan tekanan dan kesihatan mental sedia ada untuk petugas kesihatan adalah mencukupi namun boleh ditambah baik jika perlu, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
"Langkah sedia ada bagi saya agak mencukupi tetapi kalau kita lihat perlu tambah baik, saya pasti ia boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Global Association of Clinical Officers and Physician Associates (GACOPA) 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian mengejut melibatkan dua petugas kesihatan di daerah Klang, Selangor pada 4 dan 6 Jun lepas, yang satunya melibatkan seorang doktor yang hamil empat bulan serta keperluan menambah baik langkah pengurusan tekanan di KKM.
Langkah sedia ada meliputi intervensi kaunseling dan menghubungi Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 bagi membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.
Dr Zaliha berkata beliau turut 'terkesan' dengan kes berkenaan serta menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan mengambil berat mengenai isu kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan.
"Mana-mana petugas yang ada masalah dari segi emosi dan tekanan, kita ada ruang bagi kita lakukan konsultasi dan sebagainya," katanya serta menambah bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
Dr Zaliha berkata isu kesihatan mental sentiasa menjadi keutamaan KKM dan turut digariskan di tonggak kedua Kertas Putih Kesihatan (HWP), dokumen yang merangkumi sistem kesihatan negara dan cadangan penyelesaian yang bersifat struktural dan sistemik.
HWP mengusulkan empat tonggak dan 15 strategi, dengan tonggak pertama adalah mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dan merangkumi penjagaan primer, sekunder dan tertier.
Tonggak kedua adalah mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit; tonggak ketiga, memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama dan keempat, memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan dan tadbir urus.
-- BERNAMA
#doktor ditemui mati #Kementerian Kesihatan #dr zaliha #pengurusan tekanan
;