Pengurusan tandas terbaik: JAWI, MAIWP beri insentif RM120,000 untuk masjid, surau
Bernama
Februari 16, 2024 05:30 MYT
Februari 16, 2024 05:30 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memberikan insentif berjumlah RM120,000 kepada enam masjid dan surau yang terbaik dalam pengurusan tandas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, insentif itu akan diberikan setelah penilaian berkala dibuat dalam tempoh enam bulan secara konsisten.
"Kempen kebersihan ini adalah sebahagian program yang JAWI adakan untuk memastikan lebih ramai ahli kariah akan datang untuk tunaikan solat.
"Kempen ini kami mulakan dan harapan saya masjid dan surau di bawah pentadbiran JAWI menjadi contoh kepada masjid dan surau yang lain," katanya selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, pada Jumaat.
Mohd Na'im berkata, pemilihan tandas terbaik bukan sahaja dinilai dari aspek bersih dan wangi, tetapi juga infrastruktur yang terdapat di kawasan tandas terlibat.
"Ada masjid dan surau yang saya singgah yang tidak berada dalam keadaan sempurna. Ada surau tu tandasnya empat tak boleh guna sebab tak boleh tutup (pintu), satu je boleh guna," katanya.
Beliau berkata, kempen kebersihan tandas itu, yang diadakan sempena Jubli Emas JAWI, dibuat sebagai usaha menjaga dan memelihara kemuliaan masjid dan surau.
"Harapan saya bukan setakat kempen kami jalankan tapi seluruh pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta ahli kariah masjid dan surau di bawah JAWI hendaklah bekerjasama pastikan tandas-tandas mereka berada di taraf lima bintang.
"Kita kena jaga masjid dan surau untuk beri keselesaan kepada jemaah dan mereka yang berkunjung ke sana," katanya. - BERNAMA