Pengurusan Suria KLCC perlu main peranan promosi jenama Malaysia - KJ
Astro Awani
Februari 18, 2015 17:36 MYT
Februari 18, 2015 17:36 MYT
Pengurusan Suria KLCC perlu memainkan peranan untuk mempromosikan jenama-jenama Malaysia, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
"Kalau pergi ke Suria KLCC hari ini, jenama tempatan semakin kurang di premis-premis strategik.
"Kebanyakkan 'disorok' di lokasi-lokasi pinggiran. Berita terbaru ini sahkan trend pengurusan Suria KLCC yang nampak tidak bersungguh mempromosikan jenama Malaysia," katanya di laman Facebook
Khairy mengulas tindakan BritishIndia (Asia) Sdn. Bhd. (BritishIndia), memfailkan saman terhadap pengurusan Suria KLCC.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan BritishIndia, memfailkan saman terhadap pengurusan pusat membeli-belah ikonik terkemuka, Suria KLCC yang didakwa cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.
Pengasas BritishIndia, Pat Liew dilaporkan berkata, syarikat yang menyewa di Suria KLCC sejak 1998 diberi empat hari untuk menerima tawaran tanpa syarat sama ada untuk berpindah ke lokasi lain atau diletakkan di tempat lain.
“Kami mendapat tahu bahawa lokasi premis BritishIndia sekarang ini dicadangkan untuk disewa kepada satu jenama fesyen asing yang sudah mempunyai lokasi sedia ada di Suria KLCC.
“Kami dibiarkan tanpa mempunyai pilihan, kami nekad mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi hak-hak kami dan dilayan secara adil,” Pat Liew dipetik sebagai berkata oleh Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Khairy berkata ini bukan kali pertama jenama dari Malaysia dipaksa pindah atau diusir keluar daripada Suria KLCC.
"Sebelum ini kedai-kedai tempatan yang dipaksa tutup atau pindah oleh pengurusan Suria KLCC walaupun mereka berjaya membayar sewa yang dikenakan.
"Kali ini, jenama yang diminta keluar adalah antara butik tempatan yang terkenal dengan outlets bukan hanya di Malaysia tetapi juga di luar negara.
"Saya difahamkan, jenama ini diminta pindah ke premis yang tidak strategik berbanding dengan lokasi sedia ada untuk memberi laluan kepada butik jenama asing," tulis beliau.
Khairy juga menjelaskan ketika menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), beliau telah terima banyak aduan daripada usahawan tempatan yang tidak dilayan oleh pengurusan Suria KLCC.
"Tetapi oleh kerana mereka tidak menjual jenama international, mereka tidak dipandang oleh Suria KLCC.
Katanya, Suria KLCC dimiliki oleh Petronas, sebuah syarikat petroleum negara yang mana pengurusannya mempunyai semangat nasional yang tinggi.
"Tetapi mungkin semangat tersebut tidak dikongsi oleh pengurusan Suria KLCC," katanya.