Pengurusan risiko tanah runtuh: UM, Pintas Utama jalin kerjasama inovasi cerun gentian optik
Astro Awani
Januari 17, 2023 21:10 MYT
Januari 17, 2023 21:10 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama syarikat kepakaran kejuruteraan awam, Pintas Utama Sdn Bhd membangunkan sistem pemantauan cerun berasaskan gentian optik sebagai kesiapsiagaan pengurusan risiko bencana tanah runtuh.
Pakar Fotonik dari UM, Prof Dr Harith Ahmad berkata, projek perintis pemasangan sensor itu akan dimulakan di Blue Valley, Cameron Highlands, akhir bulan ini.
"Kita (UM) telah menjalankan beberapa siri lawatan dan perbincangan dengan Pintas Utama bagi menentukan kawasan serta kedudukan optimum pemasangan sensor dan kawasan Blue Valley, Cameron Highlands dipilih sebagai tapak permulaan pelaksanaan kajian lapang," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Menurut Harith, pihak Pintas Utama akan menyediakan keperluan dan kepakaran membabitkan kerja-kerja kejuruteraan awam manakala UM akan menyediakan sensor-sensor yang berasaskan gentian optik melalui kepakaran dalam bidang fotonik.
Menurutnya, dengan menggunakan sensor, ia mampu meningkatkan pemantauan bagi mengesan pergerakan tanah dengan lebih efektif dan pantas.
"Adalah sukar untuk kita sebagai manusia untuk menghentikan tanah runtuh, namun kita boleh membangunkan sistem amaran awal.
"Jadi dengan sistem pintar ini, alat itu akan menghantar isyarat dan pemantauan boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar, misal kata kita di Kuala Lumpur kini sudah boleh memantau pergerakan tanah di Blue Valley selepas sistem itu dipasang," jelasnya.
Menariknya, Harith memberitahu, sensor-sensor itu dibangunkan oleh dua pelajar ijazah kedoktoran falsafah (PhD) dari Pusat Penyelidikan Fotonik, Muhammad Syamil Mohd Sa'ad dan Mohamad Ashraff di bawah bimbingannya.
Justeru, UM telah menandatangani satu Memorandom Persefahaman (MoU) bersama Pintas Utama bagi penghasilan produk dan teknik pemantauan cerun yang mampu diaplikasikan dalam industri pembinaan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inivasi) UM, Prof Shaliza Ibrahim berkata, MoU tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara organisasi dan institut pengajian tinggi bagi menyumbang idea-idea baharu berasaskan daya fikir ahli akademik dan pemain industri.
"Kolaborasi sinergi ini juga mengintai peluang untuk mendalami teknologi mengesan pergerakan tanah dan pemantauan cerun serta berpotensi memantau sebarang pergerakan tanah susulan kerja-kerja pembinaan dijalankan.
“Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini berlaku di tapak pembinaan," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU itu.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn. Bhd., Datuk Marhalim Mohamed berharap kerjasama itu akan menjadi titik tolak untuk penemuaan inovasi baharu pada masa akan datang yang melibatkan usaha sama dengan pihak UM.