Pengurusan pengangkutan yang baik dapat elak kemalangan - NIOSH
Astro Awani
Mac 8, 2021 13:06 MYT
Mac 8, 2021 13:06 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berpendapat pengurusan pengangkutan yang baik bakal membantu mengurangkan kemalangan di jalan raya.
NIOSH berkata, menerusi pengurusan pengangkutan, ia dapat melindungi pekerja dan orang ramai daripada risiko tertentu.
"Misalnya, pemandu yang membawa muatan barangan tertentu, memerlukan satu pengenalpastian bahaya dan kawalan risiko melibatkan perancangan perjalanan, kesediaan pemandu untuk memandu, keadaan kenderaan yang sesuai dan baik.
"Perkara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kerjasama majikan dan pekerja melalui sistem pengurusan keselamatan dan keselamatan lebih-lebih lagi bagi sektor perkhidmatan pengangkuatan yang melibatkan kenderaan mengangkut dan penghantaran barang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
NIOSH menambah, melalui pendekatan tersebut, kejadian seperti bekalan tayar ganti, beban dan muatan jatuh atau tersangkut, muatan melebihi had, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau mengambil bahan terlarang, laluan yang tidak sesuai, lori mengalami kerosakan di tengah-tengah jalan raya dan pelbagai risiko lain dapat dikurangkan atau dielakkan.
Katanya, kemalangan jalan raya selalunya dianggap sebagai takdir tetapi hakikatnya ia boleh dielakkan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu treler yang disahkan posotif dadah jenis methamphetamine melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang pada Rabu itu menyebabkan, runtuhan perancah besi itu menghempap sebuah van kilang yang melalui lokasi tersebut dan mengakibatkan dua terbunuh manakala seorang lagi mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.
#kemalangan
#NIOSH
#pengurusan pengangkutan
#maut
#Terbunuh
#positif dadah
#pemandu treler
#lebuh raya