Pengurusan PATI perlu lebih sistematik - Subramaniam

Sathesh Raj
Disember 11, 2015 23:01 MYT
SUBRAMANIAM: Apabila PATI tidak bayar kos perubatan mereka ia menjadi satu isu. - Foto Bernama
Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menggendalikan proses pengurusan pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini dengan lebih sistematik.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam ia bagi menggelakkan kos perubatan yang perlu ditanggung tidak membebankan kerajaan
Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan berbincang dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
"Apabila PATI tidak bayar kos perubatan mereka ia menjadi satu isu. Ia kerana hospital menghadapi kesukaran untuk mengutip kos perubatan yang tertangguh. Kadang-kadang jumlah kos perubatan yang tertangguh adalah tinggi.
"Seperti di Sabah, hampir 60 peratus daripada pesakit di dalam satu-satu wad ialah warga asing," katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2015 dan Johor Medical Response Vehicle di ibu negara, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, keputusan Kementerian Kesihatan untuk memberi rawatan kepada PATI adalah berlandaskan prinsip kemanusiaan terutamanya dalam kes kecemasan.
Sementara itu mengulas langkah mentransformasikan sektor penjagaan kesihatan, Dr Subramaniam berkata, satu sistem ICT bersepadu sedang dirangka bagi menyelaraskan serta melicinkan pengurusan data pesakit di negara ini.
"Sistem yang diintegrasikan dalam sektor kesihatan di negara ini dapat memastikan maklumat atau rekod kesihatan pesakit diakses dengan mudah.
"Ketika ini, apabila seorang pesakit pergi ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan dan sekiranya doktor tersebut memerlukan rekod kesihatan daripada hospital yang dilawatnya sebelum ini, doktor terbabit harus menulis surat permohonan untuk rekod itu.
"Namun, dengan adanya sistem ini yang merangkumi segala maklumat pesakit seperti latar belakang kesihatan sehingga preskripsi ubat , semuanya dapat diakses dengan mudahnya oleh semua hospital kerajaan," katanya lagi.
Dr Subramaniam berkata, perkara ini juga dilihat mustahak terutamanya dalam era 'Big Data' kerana maklumat berkaitan kesihatan melalui satu sistem kesihatan bersepadu akan membolehkan analisis terhadap tren kesihatan rakyat dibuat.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk membuat keputusan berasaskan bukti.
Katanya, sistem revolusi pengurusan data ini masih dalam fasa kajian dan diharap dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh tiga atau empat tahun yang akan datang.
#KDN #kos perubatan #pati #S Subramaniam
;