Pengurusan pandemik yang baik faktor sempadan negara dibuka semula - PM

Hilmi Malik
Mac 31, 2022 22:07 MYT
Ismail Sabri berkata, usaha memulihkan semula ekonomi mampu berjalan lancar dalam situasi politik negara yang semakin stabil. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR : Pembukaan semula sempadan negara adalah bukti keberkesanan kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, situasi itu juga membolehkan negara untuk kembali bangkit memulihkan ekonomi.
“Mulai 1 April saya jemput siapa yang berada di luar negara untuk balik ke Malaysia kerana kali ini tiada lagi kuarantin dan sebagainya.
“Dengan pembukaan semula sempadan, ekonomi kita semakin cepat bertumbuh kerana industri pelancongan memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara.
“Kita percaya dengan pembukaan kembali sempadan negara industri pelancongan akan lebih berkembang dengan lebih pantas,” katanya ketika berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bersempena Ekspo 2020 Dubai.
Mengulas lanjut dalam satu kenyataan di sini, katanya kerajaan juga menyasarkan sebanyak 600,00 peluang pekerjaan bagi tahun 2022.
Menurut Ismail Sabri, sasaran itu bertambah berbanding 2021 iaitu sebanyak 500,000 peluang pekerjaan.
Ujarnya lagi, kerajaan juga mengambil kesempatan dalam keadaan politik yang semakin stabil untuk menuju ke arah pemulihan ekonomi.
“Kita sudah berada di landasan yang betul, banyak peluang pekerjaan boleh ditawarkan kepada rakyat dan apabila keadaan politik stabil kita oleh keluar untuk cari lebih banyak pelaburan baharu,” katanya lagi.
#COVID-19 #Perdana Menteri #pandemik #ismail sabri yaakob
;