Pengurusan negara lebih cekap dengan Pangkalan Data Bersepadu (PADU)
Israr Khalid
September 8, 2023 10:45 MYT
September 8, 2023 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kehendak ekonomi hari ini dalam dunia yang semakin bergerak pantas memerlukan cerapan maklumat yang dinamik dan terkini.
Itu tujuan penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU), sebuah sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data setiap kerajaan untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat, bersepadu dan senada.
Dengan adanya PADU yang akan mula berfungsi pada Januari 2024, segala maklumat dapat dikemas kini dengan lebih menyeluruh dan cepat, sekali gus dapat memastikan segala pelaksanaan inisiatif kerajaan lebih menepati apa yang diperlukan.
“Ia memerlukan satu urus tadbir data yang komprehensif, yang dikemas kini dengan lebih kerap.
"Jadi perkara-perkara seperti keterciciran dan ketidakketepatan dalam penyaluran bantuan dapat diperkemaskan dan yang paling penting, sumber negara dapat diuruskan dengan lebih cekap dan tiada ketirisan,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Jelas beliau, PADU dapat menjadi penyelesaian kepada kerumitan pengurusan data dalam keadaan dunia yang semakin terhubung dan tuntutan perkongsian maklumat yang semakin luas dan pantas.
Begitu pun, matlamat ini hanya dapat dijayakan dengan kerjasama tidak hanya setiap komponen dalam kerajaan tetapi juga didorong pemahaman di peringkat rakyat terhadap kepentingannya kepada kehidupan mereka dan masa depan negara.
Dengan sokongan rakyat untuk memberikan maklumat yang tepat, pada akhirnya mereka yang akan mendapat manfaatnya menerusi dasar-dasar kerajaan yang dibentuk dengan lebih objektif.
“Selain keupayaan berkongsi maklumat, kelancaran birokrasi dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, perlu juga kesedaran rakyat tentang pentingnya kita punyai pangkalan data yang lengkap dan terkini.
“Jadi kalau kita boleh dapat kefahaman daripada semua pihak dan semua pihak bekerjasama, insya-Allah apa yang kita hasratkan dapat tercapai,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi Datuk Dr Zunika Mohamed.
Beliau dan Mohd Uzir ditemu bual dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar. Tonton di sini: