Pengurusan kes rayuan Isa Samad bagi kes rasuah pada 8 September

Bernama
Julai 27, 2022 19:20 MYT
Pada 3 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Sept ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi berkata pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap.
Pada 3 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.
-- BERNAMA
#Isa Samad #kes rasuah #Felda #pembelian hotel
;