Pengurusan halal perlu diperkasa - IKS

Astro Awani
Jun 3, 2014 22:18 MYT
Perbezaan keputusan status halal antara Kementerian Kesihatan dan JAKIM mengenai coklat Cadbury, IKS minta perkasakan pengurusan halal di Malaysia
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) meminta kerajaan agar memperkasakan hab halal di Malaysia dengan segera ekoran perbezaan keputusan status halal antara Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mengenai kemelut cokelat Cadbury.
Bagi pengusaha hab IKS di Sungai Soi, Kuantan, Pahang, Zuazna Wahap beliau berhasrat untuk membuka pusat hab halal yang menjual kesemua produk daripada pengusaha IKS bagi mengelak kekeliruan di kalangan pengguna tentang status halal makanan.
Ketika ini, Zuazna telah membuka premis secara kecil-kecilan bagi memberi ruang kepada pengusaha IKS untuk memasarkan produk mereka dan pada masa sama tidak mewujudkan suasana was-was di kalangan pengguna Islam.
Ketika ditemui, beliau turut berharap agar pihak berkuasa memberi perhatian dalam soal penentuan status halal bagi produk-produk makanan yang dipasarkan di negara ini sekaligus mengelakkan kecelaruan yang berbangkit seperti kes coklat Cadbury.
Selain mekanisme yang jelas dan seragam, penguatkuasaan dan pemantauan yang kerap di kilang atau di pasaran perlu dilakukan bagi memastikan produk makanan khususnya yang memperoleh sijil halal sentiasa bersih mengikut hukum Islam.
#cadbury #Halal #Industri Kecil dan Sederhana (IKS) #Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM)
;