BANJIR merupakan satu fenomena yang membawa kepada tragedi dan kemusnahan serta biasanya berlaku tanpa dijangka.

Impak daripada bencana ini amat besar kepada mangsa yang mengalaminya kerana ia bukan sahaja melibatkan kerosakan harta benda bahkan juga melibatkan kehilangan nyawa.

Oleh kerana itu, terdapat impak psikologi terhadap mangsa banjir dan adalah penting untuk mangsa banjir mengetahui cara menguruskan emosi dengan baik.

Kajian yang dijalankan berkaitan kesan bencana kepada kesihatan mental mendapati bahawa seseorang mangsa yang mengalami bencana akan merasai kesan bencana itu dalam tempoh sehingga sembilan bulan selepas bencana dan jika tidak diurus dengan betul mampu membawa kepada masalah kesihatan mental.

Dari sudut pengurusan emosi mangsa, persediaan awal dari aspek psikologi adalah amat penting bagi membantu memberi kekuatan serta semangat buat mangsa.

Ini kerana mangsa akan menjadi lebih terkesan jika tidak bersedia dalam menghadapi bencana.


Pengaruh mental

Faktor-faktor bencana yang boleh mempengaruhi kesihatan mental dibahagikan kepada empat jenis: 

1) Faktor yang berkaitan dengan bencana yang berlaku iaitu tahap, jenis dan tempoh masa berlaku bencana tersebut.

2) Faktor yang berkaitan dengan individu seperti sejarah kesihatan, sejarah hidup, tekanan hidup seharian, pengalaman trauma yang lalu serta keupayaan daya tindak.

3) Faktor interpersonal iaitu kekuatan sistem sokongan sosial termasuk keluarga dan sumber kewangan.

4) Faktor komuniti iaitu sejauh mana peranan komuniti membantu mangsa yang terlibat dengan bencana.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam pengurusan emosi.

Ia melibatkan semua fasa iaitu sebelum bencana berlaku, ketika berpindah, di pusat pemindahan serta apabila kembali semula ke rumah.

Pertama adalah membuat perancangan dan persediaan. Pada tahap ini, individu mula bersedia menghadapi sebarang kemungkinan masalah bencana.

Persediaan rapi perlu dilakukan termasuk persediaan dari sudut fizikal dan barangan yang diperlukan, rancangkan pelan pergerakan dan pengangkutan yang selamat, apa yang perlu dipindahkan, bagaimana menyesuaikan diri serta membuat persediaan mental dan spiritual.

Jika terdapat penyakit sedia ada tidak kira penyakit fizikal atau mental, pastikan anda mempunyai bekalan ubatan yang mencukupi kerana ini juga boleh mendatangkan tekanan.

Seterusnya adalah mempraktikkan kemahiran pengurusan tekanan serta penyelesaian masalah yang baik.
Kenal pasti masalah yang dihadapi serta lihat bagaimana langkah penyelesaian.

Minta pertolongan daripada orang lain sekiranya perlu. Berkongsi masalah serta perasaan yang dialami, berfikiran positif serta cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dapat membantu mengurangkan tekanan.

Kekalkan interaksi serta hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk membantu menguatkan semangat.

Kekalkan rutin harian seperti biasa. Pastikan supaya individu tersebut mendapat tidur dan makan yang cukup, serta lakukan riadah yang berseseuaian di masa lapang.

Pengisian masa yang produktif dapat menghalang mangsa daripada berfikir tentang masalah secara berterusan.

Langkah seterusnya adalah pengukuhan rohani serta spiritual di mana ia dapat membantu individu mendapatkan kekuatan mental serta daya tahan.

Sokongan daripada keluarga dan masyarakat juga amat membantu individu dalam membina kekuatan diri menghadapi bencana.




Impak psikologi

Terdapat pelbagai tekanan yang berlaku kepada mangsa banjir sehingga menyebabkan berlakunya impak psikologi yang teruk kepada mangsa banjir.

Antaranya adalah bekalan makanan serta kelengkapan yang tidak mencukupi, konflik sesama mangsa banjir, pusat pemindahan yang sesak serta kemusnahan harta benda.

Aktiviti ekonomi juga tidak dapat dijalankan seperti biasa menyebabkan punca pendapatan terputus.

Ini akan menyumbang kepada masalah psikologi termasuklah stres, kebimbangan yang berterusan, gangguan emosi dan kognitif di mana berlakunya perasaan sedih, sukar tidur, menyalahkan diri sendiri serta berputus asa.

Ada juga di kalangan mangsa banjir yang berisiko mendapat 'Post-traumatic stress disorder (PTSD)' atau gangguan stres pasca trauma.

Terdapat empat gejala utama dalam PTSD iaitu imbasan semula (re-experiencing), gejala pengelakan (avoidance), perubahan negatif pada kognitif / emosi serta peningkatan kepekaan deria (hypersensitivity).

Di pusat pemindahan banjir, individu boleh mendapatkan bantuan daripada Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial sekiranya perlu.

Antara perkhidmatan psikososial yang diberikan adalah psychological first aid, kaunseling, melaksanakan teknik relaksasi serta saringan kesihatan mental bagi mengenal pasti tahap emosi serta kemurungan di kalangan mangsa yang terlibat.

Mereka boleh membuat rujukan terus kepada kaunselor dan pakar psikiatri selepas penilaian dibuat.

Perlu dijelaskan bahawa adalah reaksi normal bagi seseorang itu mengalami tekanan selepas bencana tetapi selepas beberapa bulan seseorang itu sudah mampu untuk berfungsi seperti sedia kala.

Bagaimanapun, sekiranya gejala psikologi tersebut berterusan maka mereka perlu mendapatkan penilaian serta rawatan lanjut daripada perawat kesihatan mental.



*  Penulis adalah Pakar Perunding Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.