Pengurusan diabetes semakin mencabar, gunakan segala kemudahan diberi - Pakar
Madiha Abdullah
November 14, 2021 11:14 MYT
November 14, 2021 11:14 MYT
Pengurusan penyakit diabetes menjadi lebih mencabar semasa pandemik dan pasca pandemik, khususnya bagi kalangan B40.
Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Norlaila Mustafa berkata, ia berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup yang semakin mendesak, khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau hilang pekerjaan.
"Semasa lockdown dikenakan, ramai yang risau barang makanan tak cukup jadi mereka beli banyak bahan seperti beras, tepung dan mi segera.
"Apabila duduk di rumah, bekerja dari rumah contohnya, perut asyik lapar, isteri atau ibu pula masak macam-macam, pukul 10 pagi kadang-kadang sudah lapar dan makan walaupun baru sahaja sarapan berat pukul 7 pagi tadi.
"Bagi yang terjejas pendapatan pula, mereka akan bergantung kepada bahan-bahan yang murah seperti tepung, boleh buat jemput-jemput.
"Beras pula dimasak nasi goreng, paling mudah dan murah tetapi nasi goreng kalorinya tinggi, ia gabungan karbohidrat dan minyak.
"Tak banyak pun sayur-sayuran yang boleh kita letak dalam nasi goreng.
"Mereka ini lebih memikirkan survival, nak makanan yang mengenyangkan tapi makanan begini selalunya karbohidrat tinggi dan ini akan menjadikan diabetes sukar dikawal.
"Selain itu, taman-taman ditutup dan orang ramai juga takut untuk keluar melakukan aktiviti fizikal.
"Pesakit saya selalu beri alasan PKP, tak boleh keluar bersenam tetapi mereka lupa di rumah juga boleh buat macam-macam aktiviti, boleh kosongkan satu ruang atau bilik, buat regangan atau aerobik, sudah cukup," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut hari ini, Prof Norlaila menyeru agar orang ramai menggunakan akses perkhidmatan kesihatan yang sudah tersedia dengan melakukan pemeriksaan secara berkala, selain menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif.
"Ada pesakit yang takut nak datang hospital semasa pandemik, tetapi mereka mungkin tidak tahu di hospital selalunya disediakan dua laluan.
"Pesakit COVID-19 ada laluan, dan pesakit biasa ada laluannya. Kita takkan bagi mereka bercampur.
"Memang hospital cuba kurangkan pesakit yang datang, yang mana agak terkawal, temu janjinya kita anjakan ke hadapan.
"Tetapi walaupun tidak jumpa doktor, kita masih beri ubat, kita tak nak pesakit putus ubat.
"Malah kalau pesakit itu ada kad rawatan, mereka boleh lepas sekatan jalan raya semasa PKP dahulu. Jadi sebenarnya tak ada kekangan pun untuk datang menerima rawatan.
"Di HCTM contohnya, selain klinik diabetes, kami juga ada klinik kaunseling khusus untuk pesakit diabetes.
"Kita ajar macam mana nak jaga diri, cara ambil insulin malah ada juga Rakan Diabetes HCTM untuk dihubungi pesakit.
"Jadi penjagaan menyeluruh itu sememangnya ada, kita beri akses itu dan orang ramai perlu gunakan sebaik mungkin," ujarnya.
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#COVID-19
#Norlaila Mustafa
#Pengurusan penyakit diabetes
#Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz