Pengurusan bencana: PM digesa perjelas di Parlimen, tubuh RCI - Majlis Presiden PH

Astro Awani
Disember 31, 2021 13:07 MYT
Wujud keperluan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk dalam melakukan pascanilai bencana tersebut, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta anggota Kabinet memberi penjelasan penuh dalam satu Sidang Khas Parlimen khusus berhubung banjir besar yang melanda negara.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan turut berpandangan, wujud keperluan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk dalam melakukan pascanilai bencana tersebut.
"Pada masa yang sama, kami turut berpandangan bahawa kerajaan perlu menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu RCI selaras dengan titah Tuanku bahawa satu pascanilai banjir besar ini dilakukan, termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.
"Ini bagi mengenal pasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang telah diberi milik untuk tujuan pembangunan," memetik kenyataan yang dikeluarkan empat Presiden komponen tersebut.
Tegas Majlis Presiden PH itu lagi, kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini amat ketara dan mengguris hati.
"Pada masa yang sama, suara rakyat yang kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respon Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada September lalu.
"Malah fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan yang amat negatif buat rakyat," memetik kenyataan itu lagi.
#pascabanjir #RCI bencana banjir #Majlis Presiden Pakatan Harapan #mangsa banjir
;