Pengurusan banjir inklusif perlu libatkan kumpulan OKU - Pakar

Fareez Azman
Disember 12, 2022 19:35 MYT
Mekanisme melibatkan semua kumpulan termasuk OKU secara menyeluruh itu dijangka mampu memperbaiki pengurusan banjir sedia ada. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengurusan banjir di seluruh negara perlu melibatkan kumpulan golongan kurang upaya (OKU) bagi memastikan infrastruktur mesra golongan itu dapat dibina.
Menurut Pengarah Pelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mohd Fadhil Md Din, mekanisme melibatkan semua kumpulan termasuk OKU secara menyeluruh itu dijangka mampu memperbaiki pengurusan banjir sedia ada.
"Satu perkara berkaitan libat sama untuk membantu kumpulan sasar ini, adakah kita mengambil kira komponen kumpulan sasar itu sendiri.
"Sepatutnya apabila menyediakan satu mekanisme di peringkat banjir, sepatutnya Badan Bukan Kerajaan (NGO) kumpulan bernaung di bawah persatuan OKU, mereka perlu dilibatkan.
"Terutama mereka berikan fakta yang sepatutnya digunakan kumpulan perancang dan bagaimana nak mereka bentuk sistem pengurusan banjir itu sendiri," jelasnya.
LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI
Tambah Mohd Fadhil, selain dari sudut persediaan yang mengambil kira pandangan semua kumpulan, kerajaan juga ujarnya dapat melengkapkan senarai semak mangsa banjir di kawasan hotspot.
"Kedua adalah melibatkan teknologi, terutama apabila proses pemindahan itu dilakukan, bot mana yang sesuai, penggunaan tilam, makanan apa yang sesuai.
"Jadi proses senarai semak sepatutnya ia mestilah melibatkan kepada satu kumpulan yang mana ianya melibatkan kumpulan perancang tadi," ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Pantau Kerajaan Baharu | Penyelesaian inklusif dalam pengurusan banjir
Mengulas lanjut mengenai bantuan pasca banjir pula jelasnya, bantuan psikologi juga perlu diberikan kepada mangsa-mangsa banjir terutama di kawasan tidak dijangka.
"Kedua bagaimana menguruskan pengurusan psikologi di peringkat masyarakat, kebiasasan mana-mana komuniti yang biasa mereka boleh adaptasi secara perlahan dan berfasa.
"Tapi kawasan yang tidak pernah mengalami bencana, mereka akan mengalami trauma yang sangat tinggi, kebanyakan mereka akan meninggalkan kawasan tersebut, atau mereka memohon kerajaan membina benteng, prasarana dan sebagainya," katanya lagi.
#mangsa banjir #banjir 2022 #OKU #banjir
;