Pengurus syarikat rugi lebih RM100,000 diperdaya sindiket penipuan
Bernama
September 4, 2024 14:55 MYT
September 4, 2024 14:55 MYT
KUANTAN: Seorang pengurus syarikat kerugian RM108,750 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan pegawai polis.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 38 tahun itu diperdaya kononnya terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.
Beliau berkata mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada 'Pegawai Kementerian Komunikasi' pada Isnin lepas, menyatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kemudian dirujuk kepada seorang 'pegawai polis'.
"Suspek menyatakan akan membantu mangsa membersihkan wang dalam akaun simpanan melalui bantuan Bank Negara Malaysia. Mangsa kemudian memberikan maklumat perbankan dalam talian miliknya kepada suspek bagi tujuan siasatan.
"Mangsa menyedari ditipu setelah melihat wang simpanannya dalam akaun bank berkurangan dan mendapati 16 transaksi dibuat tanpa pengetahuannya hingga kerugian RM108,750," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA