Pengurus syarikat direman, bantu siasatan kes rasuah RM60 juta libatkan sebuah kementerian
Ridauddin Daud
Jun 24, 2021 14:13 MYT
Jun 24, 2021 14:13 MYT
PUTRAJAYA: Seorang pengurus syarikat direman empat hari sehingga 27 Jun ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pada pagi Khamis.
Penahanan itu adalah susulan daripada penahanan reman terhadap seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian pada Rabu.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, suspek dipercayai bersekongkol dengan penolong setiausaha bahagian tersebut bagi memonopoli projek bernilai RM60 juta di kementerian terbabit.
Kegiatan tersebut dipercayai berlaku sejak tahun 2018 dan suspek lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM tengah malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Sindiket tersebut dipercayai telah membolot kira-kira 16 projek melibatkan 11 kali pembayaran rasuah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Astro AWANI semalam melaporkan seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian ditahan reman lima hari oleh SPRM bermula Rabu bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah pelbagai bentuk yang dianggar berjumlah RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak.
Perintah reman sehingga 27 Jun depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi semalam.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 9 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.