Pengurus restoran di Sungai Petani dikompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih masa

Adie Sufian Zulkefli
Mei 15, 2021 14:44 MYT
Kompaun dikeluarkan ke atas pengurus restoran terbabit dalam operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.- Gambar hiasan/BERNAMA
SUNGAI PETANI: Gara-gara beroperasi melebihi tempoh yang dibenarkan, sebuah restoran di Taman Matang Gedong, Taman Sejati dekat Sungai Petani, dikompaun RM10,000 pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kompaun dikeluarkan ke atas pengurus restoran terbabit dalam operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.
“Pengurus lelaki berusia 26 tahun dan menetap di Alor Setar itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dikenakan tindakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuka restoran dengan melebihi masa yang ditetapkan.
“Restoran terbabit didapati melakukan kesalahan dimana masih beroperasi pada jam 11 malam, seterusnya mengingkari masa yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Adzli, kompaun dikeluarkan mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021 dan pengurus terbabit perlu membayar kompaun berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah.
Sementara itu, sepasang kekasih dikompaun RM5,000 kerana cuba merentas negeri tanpa mengemukakan surat rentas yang dikeluarkan polis.
Kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari Bertam, Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah.
“Pasangan berusia 20 dan 22 tahun itu menaiki sebuah kereta Perodua Kancil cuba melintasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Sungai Petani Selatan, kira-kira jam 11 pagi tadi (Jumaat),” katanya.
Katanya lagi, lelaki berusia 22 tahun itu bekerja sebagai operator kilang dan menetap di Sungai Dua, Pulau Pinang manakala wanita berusia 20 tahun itu adalah pelajar sebuah kolej dan beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Adzli berkata, mereka dikompaun mengikut Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
#restoran dikompaun #PKP #Sekatan Jalan Raya #Majlis Keselamatan Negara #SOP #perintah kawalan pergerakan #Sungai Petani #Alor Setar
;