Pengurus rancangan Felda disyaki salah guna kuasa ditahan

Sinar Harian
Januari 23, 2025 08:10 MYT
SPRM Johor telah menahan seorang pengurus rancangan felda dalam daerah Kulai kerana disyaki melakukan kesalahan salah guna kuasa - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan( Felda) dalam daerah Kulai kerana disyaki melakukan kesalahan salah guna kuasa.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 43 tahun tersebut telah ditahan kira-kira jam 7 petang, Rabu di pejabat SPRM Johor.
Difahamkan, tangkapan ke atas suspek dibuat kerana disyaki menyalahguna kuasa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) bagi penyelewengan peruntukkan melebihi RM10,000 dari Tabung Ladang dan Jalan Pertanian untuk kepentingan diri sendiri.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - Sinar Harian
#pengurus Felda #SPRM #salah guna kuasa #JKKR
;