Pengurus projek mengaku tidak bersalah terima rasuah
Bernama
Januari 23, 2025 20:30 MYT
Januari 23, 2025 20:30 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja pembinaan lebuh raya, dua tahun lepas.
Zairulnizam Rohani, 47, didakwa menerima rasuah RM10,000, RM30,000 dan RM10,000 daripada seorang individu menerusi pemindahan dalam talian ke akaun sebuah bank milik isterinya.
Suapan itu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat kontraktor pembinaan mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Universiti , Skudai di sini pada tarikh 7, 12 dan 13 Dis 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.
Peguam Mohd Salleh Tugimin yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon satu jaminan tidak membebankan diberikan atas alasan tertuduh telah digantung kerja sejak Julai 2024 dan tiada pendapatan lain serta akaun bank peribadi dibekukan.
Mohd Salleh berkata tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan sejak 2023 selain perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja, empat anak berusia lapan hingga 17 tahun, selain menjaga ibunya berusia 71 tahun yang uzur.
Hakim Siti Noraida Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Feb depan bagi serahan dokumen .
-- BERNAMA