Pengurus kelab dihadap ke mahkamah kerana memandu mabuk, pukul polis
Astro Awani
Jun 1, 2020 18:12 MYT
Jun 1, 2020 18:12 MYT
Seorang pengurus kelab dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk, menumbuk polis serta membaling kerusi terhadap penjawat awam itu.
Leng Kar Loon, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi dan S. Mageswary.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa dua anak itu didakwa memandu sebuah Toyota Avanza dengan kandungan alkohol di dalam badannya sebanyak 200 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 120 mg daripada had yang ditetapkan iaitu 80 mg alkohol dalam 100 ml darah.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Bulatan Bilion, Cheras pada jam 1 pagi, 21 Mei lepas.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 45a(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Tan Kian Peng yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung dua anak berumur 20 serta 10 tahun.
Majistret Puteri Nursheila membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Di hadapan Majistret Mageswary, Leng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan.
Dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis trafik Lans Koperal Mohd Radhie Md Yatim, 37, dengan menumbuknya sehingga menyebabkan kecederaan, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis sama dengan membaling kerusi kepada mangsa dan dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa merusuh dan berkelakuan tidak senonoh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di bilik penguatkuasa Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S. Lee di sini, pada 1 pagi, 21 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan sebelum Tan memohon jaminan RM3,000.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.