Pengurus kargo cederakan isteri dan anak, jalani hukuman penjara dua tahun
Bernama
April 18, 2024 20:45 MYT
April 18, 2024 20:45 MYT
PUTRAJAYA: Pengurus kargo sebuah syarikat penerbangan mula menjalani hukuman penjara selama dua tahun hari ini, selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya atas tuduhan mencederakan isteri, anak lelakinya dan seorang anggota polis.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan G. Sritharan untuk membatalkan sabitannya dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Hadhariah berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah betul dan tepat.
Beliau mengeluarkan waran penahanan terhadap Sritharan yang dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuannya, untuk dibawa ke penjara.
Sritharan, 47, dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Sepang pada 30 Dis 2019 atas tuduhan mencederakan A. Kogielavaani, 47, seorang anggota polis dan anak lelaki mereka S. Vishalraj, 20, di sebuah rumah di Jalan Mawar 5C, Taman Mawar, Sepang, Selangor pada 8.30 malam, 23 Jun 2016.
Pada 6 Okt 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor membatalkan keputusan Mahkamah Majistret dan mendapati Sritharan bersalah atas kesalahan terbabit.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana mencederakan isterinya dan penjara enam bulan lagi atas kesalahan mencederakan anaknya. Mahkamah mengarahkan hukuman itu dijalankan serentak dari 6 Okt 2021.
Sritharan disabitkan atas kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama kerana mencederakan isterinya. Seksyen 326A menggandakan hukuman bagi sesiapa yang didapati bersalah mencederakan pasangan.
Berdasarkan fakta kes, Sritharan menampar muka isterinya dan memukulnya dengan topi keledar semasa bertengkar. Dia juga menendang dan memukul anaknya menggunakan topi keledar apabila anaknya cuba menghalang lelaki itu daripada memukul ibunya.
Sritharan telah menjalani hukuman penjara 89 hari apabila gagal mendapatkan kebenaran menangguhkan hukuman penjara di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada 3 Jan 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan Sritharan meneruskan rayuan dan memberi kebenaran kepadanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman. Dia dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pendengaran rayuan yang ditetapkan hari ini.
Peguam Dinesh Muthal dan Low Tze Ken mewakili Sritharan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli.
-- BERNAMA