Pengurus Gred E15 didakwa kemuka butir matan palsu RM1,855
Harits Asyraf Hasnan
April 12, 2022 14:36 MYT
April 12, 2022 14:36 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang Pengurus Gred E15, TNB Power Generation Sdn Bhd mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengemukakan butir matan palsu.
Norhayati Hamzah, 51, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozina Ayob selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Tertuduh dengan niat memperdaya Pengurus Jabatan Audit dan Complience syarikat dia bekerja menerusi tuntutan kerja luar dalam negara.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan melibatkan elaun lojing dan saraan bagi empat tarikh menerusi dokumen berbeza berjumlah RM1,855 antara 17 Januari hingga 26 Februari 2020 di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Dia didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Hakim Rozina kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport tertuduh ke mahkamah dan diarah melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Komagan Kanan.
Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 12 Mei depan.