Pengurus acara, pembantu peribadi Neelofa beri keterangan di IPD Dang Wangi

Fareez Azman
Mac 30, 2021 06:19 MYT
Pengurus acara pernikahan Reka Teemor bersama pembantu peribadi Neelofa hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk memberi keterangan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengurus majlis pernikahan usahawan dan pengacara terkenal, Neelofa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini bagi memberi keterangan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam acara itu pada Sabtu lalu.
Pemilik syarikat Reka Teemor, Faiz Sabari dan isterinya, Rozana Mumtaz tiba sekitar pukul 11.40 pagi tadi.
Turut kelihatan pembantu peribadi Neelofa, Nadia Khairuddin dan peguam yang mewakili selebriti itu.
Pasangan suami isteri itu dilihat meninggalkan IPD Dang Wangi kira-kira pada pukul 1.40 petang.
Faiz yang ditemui media pada pekarangan IPD berkata, proses memberi keterangan itu berlangsung dengan baik.
“Semua okey,” jelasnya ringkas kepada media.
BACA: Sama cantik, sama padan, Neelofa sah bergelar isteri PU Riz
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur serta pihak hotel dalam majlis pernikahan selebriti tersebut.
Menurut Mohamad Zainal, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Neelofa, 32, atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor da, PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail yang juga pendakwah bebas disatukan sebagai suami isteri di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Sabtu lalu.
Majlis pernikahan pasangan berkenaan mendapat liputan meluas media tempatan.
#Neelofa #PU Riz #nikah #langgar SOP #IPD Dang Wangi #Kuala Lumpur #Reka Teemor