Pengurup wang wanita, pekerja ditembak di Kajang
Astro Awani
Oktober 30, 2017 10:56 MYT
Oktober 30, 2017 10:56 MYT
Seorang pengurup wang wanita bersama pekerjanya cedera selepas ditembak di hadapan sebuah perhentian bas di Bandar Teknologi Kajang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, pengurup wang wanita berusia 61 tahun dan pekerja lelaki warga Pakistan, 33 tahun itu dipercayai mengalami kecederaan di muka.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian, majikan wanita itu hendak menghantar pekerjanya pulang ke rumah.
Menurutnya, sebaik sahaja pekerja itu turun daripada kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dipandu majikan tersebut, secara tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja menghampiri kenderaan mangsa.
"Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan pekerjanya hingga mengakibatkan kecederaan," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, satu das tembakan mengenai rahang mangsa manakala satu das lagi mengenai dagu pekerja lelaki itu.
Ahmad Dzaffir memberitahu, pihaknya percaya motif kejadian itu adalah cubaan samun dan dilakukan secara berkumpulan.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian telah menemui beberapa kelongsong peluru.
"Pihak polis akan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa sebaik sahaja mereka selesai menerima rawatan di Hospital Kajang," katanya.
Beliau berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai samun bersenjata api dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
#Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
#Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971
#Bandar teknologi Kajang
#ditembak
#Hospital Kajang
#Kajang
#Ketua Polis Daerah Kajang
#pengurup wang
#perhentian bas
#Seksyen 3 Akta Senjata Api
#tembak