Pengurniaan profesor diraja jadi pemangkin, inspirasi kepada ahli akademik - Zambry

Bernama
Oktober 23, 2024 16:30 MYT
Yang di-Pertuan Agong berkenan menyantuni tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (tengah) pada majlis pengurniaan watikah pelantikan profesor diraja di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pengurniaan bersejarah gelaran profesor diraja kepada Pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutama ahli akademik Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pengurniaan itu diharap dapat merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan, seterusnya menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di negara ini.
Beliau berkata susulan pelantikan itu, kerajaan turut bersetuju memberikan anugerah berjumlah RM500,000 kepada Syed Muhammad Naquib sebagai mengiktiraf dan menyanjung sumbangan beliau terhadap bidang pendidikan.
"Beliau merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara, dan telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.
"Warisannya tidak ternilai kepada bidang bahasa adabiyat (peradaban) dan kesusasteraan Melayu," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Profesor Diraja di Istana Negara hari ini.
Mengimbau latar belakangnya, Zambry berkata Syed Muhammad Naquib, 93, mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar pada 1946.
Beliau kemudian mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada 1963.
Sementara itu, Zambry menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja untuk mengurniakan pelantikan Profesor Diraja kepada Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan kerana telah memulakan langkah cadangan pengurniaan ini bagi diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan.
Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memaklumkan Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut kenyataan itu, beliau telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan logo universiti dengan moto Zidni Ilman (tambahkan kepadaku ilmu) pada 1970.
"Kini, UKM merupakan antara universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia yang telah melahirkan modal insan terpelajar di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
"Beliau juga merupakan individu bertanggungjawab membuat pembentangan mengenai konseptualisasi universiti Islam di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada 1977 yang telah membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#gelaran profesor diraja #Syed Muhammad Naquib al-Attas #budaya ilmu #Zambry Abdul Kadir #Yang di-Pertuan Agong
;