Pengurangan pembiayaan PTPTN untuk IPTA, IPTS tidak wajar - Nik Nazmi

Astro Awani
November 4, 2014 16:08 MYT
NIK NAZMI: Pengurangan pembiayaan PTPTN untuk IPTA dan IPTS dilihat tidak wajar. -Gambar fail
Pengurangan jumlah pembiayaan baru Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebanyak lima peratus dan 15 peratus untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dilihat tidak wajar ketika rakyat berhadapan tekanan kewangan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, akses pendidikan kini bukan satu kemewahan sebaliknya menjadi satu keperluan.
"Pendidikan tinggi bukanlah keistimewaan atau kemewahan. Pendidikan tinggi semakin hari menjadi kepentingan awam.
"Rakyat Malaysia yang didedahkan kepada pendidikan yang mudah dicapai dan berkualiti menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan pekerja yang produktif yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Nazmi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid yang mengumumkan pengurangan jumlah pembiayaan PTPTN mulai 1 November.
Bagaimanapun kata Mastura, jumlah pembiayaan pelajar ijazah Sarjana Muda Perubatan di IPTS dikekalkan dan tidak mengalami sebarang pengurangan kerana yuran pengajiannya yang tinggi.
Jelas Mastura lagi, ia dibuat berikutan kekangan dana PTPTN bagi menampung penambahan 50,000 peminjam baharu untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bermula November ini.
Dalam pada itu, kata Nik Nazmi, matlamat sewajarnya kini adalah meluaskan capaian ke IPT dan bukannya menyukarkan keadaan.
"Lebih dasyat lagi ia bakal memusnahkan impian anak-anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran mereka.
"Pada masa yang sama perlu ada penstrukturan menyeluruh IPTS di mana banyak kolej-kolej tidak berkualiti hidup semata-semata atas pembiayaan PTPTN, tetapi gagal memberikan pendidikan berkualiti dan membebankan generasi muda kita dengan hutang keliling pinggang," ujarnya.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini memberitahu, lebih 500,000 peminjam PTPTN sehingga kini masih liat membayar balik pinjaman masing-masing walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan oleh kerajaan.
#AMK #ipta #ipts #maslan #nazmi #nik #November #pendidikan #PTPTN
;