Pengurangan 'kos tidak perlu', antara jangkaan era pasca pandemik

Madiha Abdullah
Mei 7, 2023 19:00 MYT
Terdapat juga perbincangan mengenai perubahan pendekatan vaksinasi COVID-19, di mana vaksinasi tidak lagi akan ditawarkan secara percuma. - Bernama
KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa COVID-19 bukan lagi darurat kesihatan global, beberapa perubahan termasuk dalam polisi dijangka berlaku.
Dalam konteks kesihatan awam, pakar kesihatan awam, Dr Malina Osman berpendapat, antara impak paling ketara ialah mengurangkan kos yang tidak perlu dan kembali ke era sebelum pandemik, dengan memfokuskan sumber hanya dalam situasi yang benar-benar memerlukan.
"Kita telah melaksanakan cara hidup pra-pandemik namun sistem kesihatan masih buat ujian saringan untuk pesakit yang nak masuk ke wad. Dari segi kesihatan awam saya berpendapat ia boleh dipertimbangkan tidak perlu lagi buat ujian saringan memandangkan tidak tepat hanya untuk pesakit sedangkan kakitangan tak disaring.
"Dengan pengumuman WHO, saya harap ada satu polisi di mana tak perlu lagi pesakit disaring kecuali yang mempunyai risiko.
"Secara umumnya, sebarang peraturan sebagai contoh mewajibkan pemakaian pelitup muka, masyarakat kena keluarkan belanja jika tidak dipatuhi. Apa yang penting ialah impak utama kita mahu menamatkan kos yang tidak perlu dan kita kembali ke era sebelum pandemik, hanya mereka yang ada keperluan melalui ujian saringan," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Fokus Minggu Depan, pada Ahad.
Selain itu, terdapat juga perbincangan mengenai perubahan pendekatan vaksinasi COVID-19, di mana vaksinasi tidak lagi akan ditawarkan secara percuma kepada semua individu.
Syarikat pengeluar vaksin akan terus mengemas kini data untuk menangani pelbagai strain virus yang berkembang dari masa ke masa, sama dengan pendekatan vaksinasi influenza dan jangkitan lain.
"Apabila telah ada polisi COVID-19 di mana kita beri fokus sama seperti influenza, pada tahap itu kita tidak perlu lagi beri vaksin secara percuma dan dalam jangka masa panjang COVID-19 akan jadi seperti jangkitan lain.
"Ia takkan menyebabkan wabak dan dalam keadaan itu, kita kena terima kalau kita keluar belanja lebih untuk membayar kos vaksin atau saringan.
"Vaksin bukan lagi untuk mewujudkan imuniti kelompok kerana sifat virus itu sentiasa berubah, sebaliknya vaksin lebih kepada mengurangkan keterukan komplikasi dan menjadikan jangkitan lebih ringan
"Saya tidak jangka keadaan akan jadi teruk seperti mana pada awal kemunculan COVID-19. Melalui pengalaman dan komunikasi antara ahli sains, situasi akan dapat ditangani dengan baik," ujarnya.
#COVID-19 #pandemik #WHO #darurat kesihatan global #pasca pandemik
;