Pengurangan kos PDI: KSM tunggu jawapan Indonesia
Bernama
Februari 23, 2023 05:30 MYT
Februari 23, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) masih menunggu jawapan daripada Indonesia berkaitan cadangan mengurangkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI).
Menteri berkenaan, V. Sivakumar, berkata Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia yang diadakan selama dua hari bermula Rabu telah membincangkan usaha penyelesaian berkait perkara berkenaan.
"Perkara ini memang dalam perhatian KSM kerana kos siling ditetapkan pada ketika ini ialah RM15,000 yang mana jumlah ini adalah terlalu tinggi dan kami sedang berusaha dan penelitian dibuat untuk mengurangkannya.
"Working Group (Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia) berbincang cari jalan penyelesaian dan saya masih menunggu jawapan dari mereka," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu,di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Sivakumar berkata beliau dalam sesi dialog bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Dr Ida Fauziyah, baru-baru ini juga ada membincangkan soal pengurangan kos membawa masuk pekerja domestik.
Setakat 22 Jan lalu, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.
Daripada jumlah itu, 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing (PRA) dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.
-- BERNAMA