Pengurangan kemudaratan: Vape bukan kaedah wajar ganti ketagihan merokok

Haikal Raman
Januari 20, 2021 09:25 MYT
Mungkin ada pihak menyatakan vape boleh dijadikan sebagai satu cara untuk menolong orang untuk berhenti merokok, namun ironinya terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang tidak merokok tiba-tiba terjebak menghisap vape. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: “Tidak wajar jika kerajaan berhasrat untuk menjadikan vape sebagai salah satu kaedah harm reduction (pengurangan kemudaratan) bagi ketagihan merokok, sehinggalah kita benar-benar tahu apa kandungan sebenar terdapat dalam liquid (cecair) vape tersebut,”.
Itu pendirian Pakar Perubatan Keluarga dan Ketua Pusat Pemeriksaan Kesihatan Hospital Beacon, Dr. Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul Malek ketika diskusi webinar, ‘Bahaya Asap dan Pengurangan Kemudaratan Tembakau’ yang dianjurkan Astro AWANI LINC baru-baru ini.
Pengurangan kemudaratan merujuk kepada polisi, program dan pengamalan yang bertujuan untuk mengurangkan kemudaratan yang berkait rapat dengan penggunaan dadah yang psikoaktif oleh individu yang tidak mampu atau tidak ingin berhenti menggunakannya.
Raja Ahmad Shaharul berkata, sehingga kini masih tiada kajian yang membuktikan bahawa penggunaan vape ini adalah berkesan atau baik sebagai satu kaedah smoking cessation (berhenti merokok), malah tiada peraturan untuk kita ketahui kandungan bahan tersebut.
“Saya sendiri berpengalaman masuk ke tempat penghasilan vape dan mendapati bahan-bahan kimia yang dijadikan sebagai campuran vape itu disimpan dalam botol-botol dengan label tengkorak. Ia merupakan toksik dan bahan-bahan seperti ini yang dicampurkan menjadi vape.
“Jika rokok, kita tahu apakah bahan yang terkandung di dalamnya kerana banyak kajian telah berjaya dilaksanakan bersama pembuktian-pembuktian yang jelas, namun vape masih kurang kajian dilaksanakan di Malaysia dan kita tidak tahu apakah kandungan digunakannya,” ujarnya.
Menurut beliau, mungkin ada pihak menyatakan vape boleh dijadikan sebagai satu cara untuk menolong orang untuk berhenti merokok, namun ironinya terdapat kajian yang menunjukkan mereka yang tidak merokok tiba-tiba terjebak menghisap vape.
“Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Buat masa ini saya melihat ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan jika kita menerimanya sebagai kaedah smoking cessation, justeru itu saya tidak menyarankannya.
“Namun, jika ada regulasi dan terdapat bukti yang menyatakan menghisap vape ini adalah bagus, maka saya tidak ada masalah untuk menerimanya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Klinikal Solace Asia, Dr. Prem Kumar Shanmugam berkata, tidak semua pendekatan pengurangan kemudaratan adalah sesuai untuk semua jenis ketagihan.
Beliau yang juga salah seorang ahli panel dalam sesi webinar sama turut menjelaskan bahawa buat masa ini, data mengenai usaha pengurangan kemudaratan dengan menghisap vape adalah tidak mencukupi di Malaysia.
“Ada yang kita dapati, individu ini telah berhenti merokok, namun menggantikannya dengan menghisap vape. Adakah ia bagus? atau sebuah kebergantungan yang baharu, agak sukar untuk dijelaskan.
“Terdapat kajian dijalankan di luar negara menunjukkan, golongan dewasa yang menghisap vape lebih cenderung atau berpeluang tinggi untuk berhenti merokok. Manakala situasi di Eropah (ekoran negara itu mengharamkan vape) lebih ramai individu mula merokok, malah risiko merokok bagi golongan remaja adalah sebanyak 30 peratus jika vape diharamkan.
“Bagaimanapun, itu adalah kajian-kajian yang dilaksanakan di luar negara, mungkin tidak sama keadaannya jika di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bagi penyanyi Imran Ajmain ketika ditanya pengalaman beliau berjaya bebas daripada ketagihan merokok berkata, kaedah yang lebih berkesan perlu menggantikan ‘scare tactic’ yang dilakukan sekarang seperti meletakkan imej paru-paru rosak pada kotak rokok.
“Cara itu dilihat ‘old school’, kita sudah tidak takut dengan imej yang dipaparkan pada kotak rokok ini. Pada saya, untuk anak muda sekarang kita perlu terus memberi teguran dan menjelaskan mengapa ia salah.
“Ia lebih berkesan dan menyentuh hati mereka sehinggakan mereka merasa bahawa mereka disayangi dan perlu menjaga diri sendiri dengan menghindari gejala ketagihan merokok serta menjauhi asap daripada bahan memudaratkan ini,” jelas pelantun lagu Seribu Tahun itu.
#Astro #Astro Awani #kesihatan #vape #HarmReduction #rokok #ScareTactic #PenguranganKemudaratan #PolisiKesihatan #ketagihan #Psikoaktif #SmokingCessation #KlinikalSolaceAsia #AWANILINC #HospitalBeacon #ImranAjmain #Malaysia #Kajian
;