Pengurangan kemudaratan, langkah terbaik rawat ketagihan nikotin
Izwar Wahid
Jun 27, 2022 15:35 MYT
Jun 27, 2022 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Dadah menjadi masalah yang menghantui negara sejak puluhan tahun dulu. Pelbagai masalah berpunca dari dadah menghambat serta menambat institusi kekeluargaan dan kerajaan. Kekeluargaan ranap dan sistem kesihatan negara terbeban kerana ketagihan dadah.
Ratusan ribu rakyat jadi korban angkara najis dadah sementara ratusan ribu orang juga menyertai senarai penghidap HIV/AIDS.
Segala usaha dan kempen dilakukan bagi melawan najis dadah tetapi ia seperti sia-sia. Malah hukuman mati mandatori juga tidak dapat menghentikan dadah dari terus menjadi musuh utama negara.
Sehinggalah kaedah rawatan ketagihan dadah menggunakan methadone diperkenalkan pada tahun 2005 di mana ia membantu merawat ketagihan serta secara perlahan-lahan mengurangkan kebergantungan penagih kepada dadah.
Kaedah ini juga membantu mengurangkan kemudaratan (harm reduction) akibat pengambilan dadah secara berterusan.
Pengasas rawatan pengendalian methadone, pengurangan kemudaratan untuk penagih heroin, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, cadangan untuk menggunakan methadone sebagai kaedah rawatan dengan mengurangkan kemudaratan bermula pada 1990 dan hanya digunakan pakai pada 2005.
Sejak diperkenalkan, penggunaan methadone terbukti berkesan apabila kes jangkitan HIV membabitkan pengguna dadah secara suntikan (IDU) mencatatkan penurunan signifikan.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 2020, sebanyak 3,146 kes baharu HIV dilaporkan dengan 94 peratus disumbangkan oleh kegiatan seksual sementara hanya 4 peratus disebabkan IDU dan 1 peratus jangkitan dari ibu ke anak serta sebab-sebab lain.
Menurut Dr Mohamad Hussain yang juga Ketua Jabatan Psikiatari Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, ini menunjukkan keberkesanan kaedah pengurangan kemudaratan dalam merawat ketagihan.
Pengurangan kemudaratan ini juga mampu merawat pelbagai jenis ketagihan termasuk ketagihan nikotine.
Malah data di beberapa negara sperti Jepun menunjukkan penjualan rokok berkurang sebanyak 44 peratus dalam tempoh lima tahun dan jumlah perokok di United Kingdom turun sebanyak 28 peratus dalam tempoh tujuh tahun.
Majoritinya beralih kepada sesuatu yang kurang memudaratkan dan tidak kurang juga yang memilih untuk berhenti selepas beberapa ketika.
"Kerajaan sudah belanjakan RM20 juta setahun sejak 1990-an bagi membantu merawat ketagihan nikotin tetapi tidak berkesan.
"Sebahagian besar peruntukan pergi kepada bilboard yang memaparkan gambar-gambar menakutkan sedangkan kajian sudah menunjukkan taktik menakut-nakutkan ini tidak berkesan," katanya ketika ditemui ketika menghadiri Forum Nikotin Global di Warsaw, Poland yang berlangsung dari 18 hingga 19 Jun lalu.
Tambahnya, pengenalan klinik berhenti merokok juga tidak banyak membuahkan hasil kerana tidak ramai yang tampil secara sukarela untuk menghentikan masalah ketagihan nikotin mereka. Ini semua kerana tidak ada usaha untuk menarik perokok agar mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
Sehubungan itu Dr Mohamad Hussain yang juga Presiden Persatuan Hemp Perubatan Malaysia (MyHemp) melihat pegurangan kemudaratan adalah satu kaedah yang boleh digunakan dalam merawat ketagihan nikotin kerana keupayaan untuk menahan ketagihan berbeza bagi setiap individu dan ini menjadikan ada yang mampu berhenti secara mengejut sementara ada individu yang memerlukan sistem sokongan lain.
"Dengan pengalaman saya dan kajian berkait pengurangan kemudaratan menunjukkan ini adalah langkah ke hadapan untuk menangani ketagihan nikotin.
"Bukan saya katakan cara terbaik, memang ada kesan tetapi mudaratnya dikurangkan. Kalau boleh berhenti cara ambil air jampi, ambillah air jampi. Buat apa nak pergi jumpa doktor, tetapi e-rokok adalah satu alternatif untuk menyampaikan nikotin ke dalam badan dan ia perlu diterima sebagai kaedah untuk merawat dan bukan untuk menggalakkan pengguna baharu," katanya.
Menurut Penyelidik Saintifik dan Psikatris, mendiang Profesior Michael Russell "manusia merokok kerana nikotin tetapi mati kerana tar".
Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat mengenal pasti hampir 100 bahan toksin di dalam asap rokok yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser dengan sekitar 80 daripadanya adalah karsinogen iaitu agen penyebab kanser.
Pengarah Pusat Perubatan Kognitif, Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, Dr Paul Newhouse berkata, nikotin berpotensi dalam perubatan untuk merangsang reseptor otak dan merawat masalah kehilangan memori peringkat awal.
Walaupun keputusan penuh mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun namun keputusan awal menunjukkan nikotin mampu meningkatkan mood pesakit yang mengalami kemurungan.
"Kajian juga menunjukkan nikotin berpotensi untuk rawatan terapeutik bagi masalah jantung yang berkait dengan 'long COVID'," katanya dalam sesi bertajuk Faedah Nikotin dalam forum yang sama.
Jelas sekali, dalam usaha menghentikan ketagihan nikotin, Kerajaan mengambil keputusan tepat untuk memperkenalkan larangan penjualan tembakau dan produk berkaitan kepada bayi yang lahir pada 2005 dan ke atas. Ini adalah penamat atau 'end game' bagi memastikan Malaysia bebas dari ketagihan nikotin.
Pengeluar-pengeluar rokok juga sudah mula mengambil insiatif pengurangan kemudaratan tembakau (THR) dengan memperkenalkan tembakau yang dipanaskan dan bukan dibakar.
Keputusan Malysia dianggap satu langkah pragmatik oleh Naib Presiden Komunikasi Global, Philip Morris International (PMI), Tomasso Di Giovanni yang menyifatkan undang-undang berbentuk larangan yang diguna pakai sebelum ini tidak berkesan kerana perokok akan tetap mendapatkan produk mereka tidak kira apa cara sekalipun termasuk membeli rokok haram atau seludup.
"Apa yang lebih baik adalah mengetatkan undang-udang termasuk pengharaman penjualan rokok kepada generasi tertentu sebagaimana yang Malaysia akan lakukan dan mengurangkan sekatan tehadap produk kurang memudaratkan seperti yang sedang dilakukan oleh New Zealand.
"Langkah ini mungkin penyelesaian pragmatik yang akan meletakkan Malaysia di hadapan berbanding tindakan drastik dengan mengharamkan terus semua jenis rokok termasuk produk mengurangkan kemudaratan,"katanya.
Tambahnya, pengharaman secara total hanya akan meningkatkan penjualan rokok haram yang mana risikonya lebih tinggi kerana tiada maklumat jelas mengenai bahan yang digunakan sekali gus membahayakan kesihatan awam sementara kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan hasil cukai.
Dalam usaha meningkatkan kualiti hidup perokok, PMI juga sudah bersedia untuk mengeluarkan rokok konvensional dari pasaran dalam tempoh 20 hingga 25 tahun dan menggantikannya dengan rokok tanpa asap dengan kandungan toksin dikurangkan antara 90 hingga 95 peratus.
Ini menjadi alternatif kepada perokok untuk mendapatkan nikotin tanpa perlu menghisap pelbagai toksin karsinogen yang terkandung dalam rokok konvensional yang dibakar.
Pengambilalihan tiga syarikat farmaseutikal Faertin Pharma, OtiTopic dan Vectura pada 2021 juga katanya, menjadi asas kepada sasaran syarikat untuk menjana pendapatan bersih AS$1 bilion hasil produk kesihatan dan penjagaan kesihatan menjelang 2025.
Tidak ada seorangpun antara pakar yang ditemui menafikan cara terbaik untuk menjaga kesihatan adalah berhenti merokok, namun mereka membuat kesimpulan, semua produk mengurangkan kemudaratan adalah alternatif yang ada bagi membantu perokok yang tidak boleh meninggalkan tabit berkenaan untuk menjalani hidup yang lebih baik dan bukannya untuk menggalakkan generasi baharu untuk merokok.
Bagaimanpun, perlu ada kawal selia oleh kerajaan bagi memastikan bahan yang digunakan adalah selamat bermula dari bahan asas serta jumlah nikotin yang dibenarkan sebagaimana Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan kandungan nikotin maksimum 20mg/ml.
Kajian oleh sebuah agensi penyelidikan antarabangsa, Kantar, daripada 500 perokok di Malaysia, 49 peratus memilih vape untuk mengurangkan rokok atau berhenti sepenuhnya.
Mengulas mengenai tinjauan pada penghujung 2021 itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Health Diplomat, Dr. Delon Human - sebuah kumpulan perunding kesihatan yang mengkhusus pada pemakanan dan kesejahteraan berkata, banyak bukti saintifik mengenai vape menjadi pilihan perokok dan berkesan untuk membantu mereka membuang tabiat tersebut.
"Kajian mengenai penggunaan e-rokok setakat ini menunjukkan fakta bahawa vape tidak bebas risiko tetapi jauh lebih rendah bahayanya berbanding menghisap rokok," katanya.
Melalaui tinjauan itu juga, 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai kebimbangan mengenai produk vape yang tidak dikawal.
Majoriti daripada mereka menyokong peraturan untuk e-rokok dan percaya ia harus dikawal selia sebagai produk pengguna dan bukannya produk perubatan yang hanya boleh diperolehi melalui pengamal perubatan sementara 81 peratus percaya bahawa perlu ada peraturan untuk memastikan produk tidak rosak, memenuhi standard dan kualiti serta tidak dijual kepada kanak-kanak atau remaja bawah umur.
Memandangkan Malaysia kini hampir untuk memperkenalkan undang-undang kawal selia e-rokok dan vape, adalah penting untuk mencapai keseimbangan bagi memastikan langkah yang diambil tidak menghalang perokok daripada beralih kepada produk alternatif yang kurang memudaratkan serta memastikan produk tidak digunakan oleh mereka di bawah umur dan bukan perokok.