Pengurangan kadar caruman KWSP jejas simpanan hari tua
Dania Zainuddin
Januari 31, 2016 12:42 MYT
Januari 31, 2016 12:42 MYT
Berikutan cadangan pengurangan potongan caruman (KWSP) sebanyak 3 peratus dari Mac 2016 hingga Disember 2017, Astro AWANI membuat tinjauan pendapat mengenainya dalam kalangan orang awam.
Rata-rata yang ditemui kurang bersetuju dan menolak cadangan pengurangan caruman itu dan berpendapat ia mampu menjejaskan simpanan hari tua dan lebih bersetuju untuk kadar lama dikekalkan.
"Saya tidak yakin ia adalah keputusan yang baik kerana kalau (caruman) dikurangkan, ia akan memberi impak kepada simpanan untuk masa depan," kata pekerja swasta, Afiszah Kamaruddin.
Walaupun cadangan itu dijangka dapat membantu kos sara hidup yang semakin meningkat, masalah itu perlu ditangani dengan pengurusan kewangan yang baik.
Bagi Afiszah, pengurangan caruman itu hanya membantu untuk jangka masa pendek dan perancangan perbelanjaan harian perlu dilakukan.
"Secara peribadi, saya tidak bersetuju bahawa ia akan membantu kerana kita perlu memandang masa hadapan. Walaupun sekarang ini kos tinggi, kita perlu mengurus perbelanjaan kita," kata seorang lagi pekerja swasta, Norlina Hanis.
"Tidak semua orang ada disiplin untuk membuat simpanan dengan wang yang sudah ada dalam tangan.
"Pada pendapat saya, kalau sudah dipotong daripada gaji secara automatik, benda tu kita tak nampak. Tapi kalau ada dalam tangan, mesti ada benda lain nak dibelanjakan," tambah Norlina.
Selain itu, Afiszah dan Norlina masing-masing percaya bahawa pelunasan caruman KWSP yang dilakukan secara automatik setiap bulan adalah lebih mudah berbanding membuat simpanan sendiri.
Sementara itu, seorang lagi yang ditemui Astro AWANI, Abdul Wahid Abdul Kadir berkata, jika gaji dimasukkan secara terus ke dalam KWSP, tidak mudah untuk nilai itu dikeluarkan sewenang-wenangnya.
Itu menurutnya, secara tidak langsung membantu pekerja untuk terus membuat simpanan dengan mudah, terurus dan konsisten.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cadangan pengurangan potongan caruman (KWSP) sebanyak 3 peratus dari Mac 2016 hingga Disember 2017 dengan kadar caruman majikan kekal sama.
Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan awam sehingga sebanyak RM8 bilion setahun.