Pengurangan isipadu kolam Taman Tasik Taiping hampiri 70 peratus

Bernama
Julai 26, 2024 14:16 MYT
Paras air sungai yang menjadi antara sumber air juga didapati menurun dan memberi kesan kepada tahap air di dalam tasik atau kolam di taman itu. - Bernama
IPOH: Tahap peratusan pengurangan air di dalam tasik atau kolam di Taman Tasik Taiping menghampiri 70 peratus dengan keluasan badan air ialah 289,756.4 meter persegi, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir.
Khairul Amir dalam kenyataan berkata paras air sungai yang menjadi antara sumber air di situ juga didapati menurun dan memberi kesan kepada tahap air di dalam tasik atau kolam di taman itu.
"Kejadian air surut yang sedang berlaku sehingga menampakkan dasar tasik atau kolam adalah disebabkan cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan yang rendah.
"Sehubungan itu, bagi kejadian air surut sehingga menampakkan dasar tasik atau kolam sememangnya bergantung kepada kekerapan hujan dan berharap cuaca panas ini tidak berpanjangan," katanya.
Sejak beberapa hari lepas tular gambar-gambar dikongsikan netizen di media sosial memaparkan kolam atau tasik di Taman Tasik Taiping yang berusia 133 tahun itu menyusut akibat cuaca panas berpanjangan sejak dua bulan lepas.
Sementara itu, Khairul Amir berkata Taman Tasik Taiping merupakan tapak bekas perlombongan bijih timah suatu masa dahulu dan terdapat beberapa buah kolam termasuk Allamanda Pond, 7 Sisters Pond dan banyak lagi.
"Kesemua kolam ini juga berfungsi sebagai kolam takungan dan ia digunakan untuk menahan air bagi beberapa jam supaya saliran perparitan dan sungai sempat mengalirkan air larian ke lautan seterusnya dapat mengelakkan kejadian banjir kilat di Bandar Taiping khususnya.
"Air yang mengalir masuk ke dalam tasik atau kolam itu sebahagiannya adalah daripada Sungai Buloh sebanyak 15 peratus, manakala selebihnya bergantung kepada air hujan iaitu 85 peratus.
Beliau berkata air di Taman Tasik Taiping tidak digunakan bagi tujuan domestik atau pengairan pertanian.
"Sehubungan itu, ia dibiarkan pulih secara semulajadi dan kembali kepada keadaan asal mengikut keadaan cuaca semasa dan diharapkan musim kemarau ini tidak berlarutan," katanya.
-- BERNAMA
#Taman Tasik Taiping #paras air #penyusutan #kemarau