Pengunjung terlalu ramai, KKM arah Bukit Broga ditutup

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 25, 2020 17:40 MYT
Baru-baru ini tular di media sosial foto orang ramai di Bukit Broga susulan kebenaran oleh kerajaan yang membenarkan semula aktiviti riadah itu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Foto: Sinar Harian
Susulan penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga bermula 27 Jun ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Khamis, perintah penutupan itu adalah di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Terdapat pelaporan di media massa dan media sosial terhadap tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di kalangan individu, syarikat dan industri yang mungkin semakin menurun. Terdapat premis kedai dan syarikat yang tidak beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan.
"Misalnya, baru-baru ini terdapat penularan isu terlalu ramai pengunjung di Bukit Broga, Selangor. Sehubungan itu, KKM mengeluarkan perintah penutupan kawasan pendakian Bukit Broga di bawah Seksyen 18, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuatkuasa mulai 27 Jun 2020 (Sabtu) sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
"Justeru, KKM menyeru orang ramai supaya tidak alpa dan mengambil mudah dengan pematuhan kepada SOP dan normal baharu. KKM berharap segala usaha kita selama ini untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 diteruskan oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat," jelasnya.
Baru-baru ini tular di media sosial foto orang ramai di Bukit Broga susulan kebenaran oleh kerajaan yang membenarkan semula aktiviti riadah itu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
#bukit broga #Datuk Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM
;