Pengunjung pantai gempar kehadiran buaya!

Bernama
September 9, 2018 12:40 MYT
Seorang pengunjung memberanikan diri mendekati buaya berkenaan di pantai tersebut. - Facebook Miri Complain Community & Sarawak Viral
Hasrat sekeluarga bersama saudara-mara untuk berkelah dan mandi laut tidak kesampaian apabila digemparkan dengan penemuan seekor buaya yang tiba-tiba muncul di atas daratan Pantai Batu 1, Kuala Baram, di sini, hari ini.
Henry John, 23, berkata beliau bersama keluarga dan saudara-mara seramai 10 anggota tiba di pantai berkenaan untuk meluangkan masa hujung minggu apabila terserempak dengan reptilia sepanjang lebih tiga meter di pantai berkenaan.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pekerja swasta itu memberanikan diri untuk merakamkan kehadiran buaya itu dengan telefon pintar sebelum buaya itu merangkak kembali ke laut.
"Pada mulanya, kami tidak mempedulikan haiwan itu kerana memikirkan ia hanya seekor biawak biasa. Setelah anak saudara saya melihat dari dekat, baru sedar ia seekor buaya," kata pemuda itu kepada Bernama.
Rakaman video penemuan buaya berdurasi 1.28 minit telah dimuat naik ke dalam Facebook (FB) Miri Complain Community petang ini dan sehingga kini telah tular serta dikongsi lebih 1,000 netizen.
Rata-rata netizen turut menyuarakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pengunjung ke pantai tersebut setelah kemunculan buaya itu.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, ketika dihubungi, mengesahkan tidak menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut manakala jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri turut mengesahkan tiada laporan diterima.
-- BERNAMA
#buaya #buaya air masin #Pantai #pengunjung