Pengunjung cemas, wanita warga emas rempuh pam minyak
Raffi Bachik
Mac 17, 2018 18:45 MYT
Mac 17, 2018 18:45 MYT
Pengguna yang ingin mengisi minyak di Stesen Minyak di Ayer Molek, Melaka gempar apabila sebuah kereta merempuh satu pam minyak lalu menghempap sebuah kenderaan lain, tengah hari tadi.
Insiden itu berlaku gara-gara tindakan seorang wanita warga emas yang menekan pedal minyak kereta tanpa sengaja lalu pam minyak yang dirempuh itu terbalik lalu menghempap sebuah kenderaan lain dalam kejadian pukul 12 tengah hari ini.
Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.13 tengah hari sebelum sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba sahaja tiba, anggota bomba mendapati sebuah kereta Honda City dihempap pam minyak tetapi tiada mangsa yang cedera.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila wanita warga emas yang memandu kereta Jenis Proton Saga dipercayai tertekan pedal minyak lalu merempuh pam berkenaan.
Jelasnya, ketika kejadian wanita berkenaan bersama anaknya berusia lingkungan 20-an ke pam minyak tersebut untuk mengisi petrol.
Ketika itu beberapa pelanggan lain sedang mengisi petrol, manakala warga emas terbabit menunggu di dalam kereta sementara anaknya membuat pembayaran di kaunter.
“Wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak sehingga merempuh pam dihadapannya sehingga terbalik dan menghempap kereta lain di pam sebelah,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba kemudian mengalihkan kenderaan terbabit dan menutup saliran pam bagi mengelakkan minyak melimpah keluar.
#Alias Ahmad
#Ayer Molek
#Gempar
#Honda City
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil
#Melaka
#stesen minyak