Pengunjung abai SOP, Robina Eco Park diarah tutup lima hari
Dewi Nur Harasha Alias
September 17, 2021 23:36 MYT
September 17, 2021 23:36 MYT
BUTTERWORTH: Taman rekreasi Robina Eco Park di Telok Air Tawar, Butterworth ditutup selama lima hari bermula esok.
Arahan penutupan dibuat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) susulan kehadiran pengunjung yang terlalu ramai sehingga ada yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penutupan dibuat atas nasihat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuat pemantauan sepanjang masa di kawasan tumpuan orang ramai tersebut.
Rozali berkata, pihaknya dimaklumkan kehadiran pengunjung terlalu ramai dianggarkan 700 hingga 1,000 orang pada satu masa dan boleh ia dijangka melebihi pada waktu petang serta hari minggu serta cuti umum.
Menurutnya, tindakan penutupan sementara itu sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pengunjung.
Sehubungan itu, MBSP menyeru semua pengunjung dan orang awam yang mengunjungi taman rekreasi ini atau mana-mana taman rekreasi di seluruh Seberang Perai terutamanya seliaan MBSP agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehadiran pengunjung terlalu ramai berikutan cuti umum menyebabkan ada di kalangan mereka didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan.
"Semasa pemantauan anggota kita semalam, kita mendapati ramai tidak memakai pelitup muka dengan betul, tiada penjarakkan fizikal malah ada juga pengunjung yang masih belum lengkap vaksin," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Berikutan itu, pihaknya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pegawai Daerah dan Pegawai Kesihatan Daerah berhubung cadangan penutupan tersebut.
Jelasnya, penutupan pusat rekreasi itu wajar memandangkan ia berada di kawasan zon merah.