Pengunduran Afifi Al-Akiti langkah bertanggungjawab - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Mei 16, 2022 18:34 MYT
Mei 16, 2022 18:34 MYT
IPOH: Langkah Pensyarah Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi Al-Akiti mengundurkan diri sebagai Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan yang juga Penasihat Agama Sultan Perak disifatkan sebagai sangat bertanggungjawab.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Afifi berbuat demikian demi menjaga darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana.
Beliau berpendapat, sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan seumpama itu, perlu meletakkan kepentingan kemuliaan Sultan.
“Sultan kita adalah Ketua Agama Islam Negeri, jadi sudah tentu itu kena didahulukan.
“Sama ada kejadian itu (berada di kelab malam) berlaku atau tidak, terpulang kepada keadaan yang menentukannya tetapi yang penting, dia telah mengambil tanggungjawab itu untuk tidak menyebabkan Tuanku dilibatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis jamuan hari raya anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak di sini, hari ini.
Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima permohonan Afifi untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar Delapan Perak.
Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayob Hashim berkata, Afifi telah mengutus surat pada hari yang sama, memohon perkenan Sultan Nazrin untuk mengundurkan diri daripada penyandang gelaran berkenaan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, beliau berkata, Sultan Nazrin berkenan menerima permohonan tersebut untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei.
Menurutnya, baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Afifi All-Akiti dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.
Afifi di dalam surat yang turut dilampirkan mengakui langkah itu ada kaitan dengan bahan-bahan yang tular di media sosial sejak dua minggu kebelakangan, yang bertujuan mencemarkan nama beliau.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat.
Menurutnya, bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranannya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.
Dr Afifi berkata, beliau mengutus surat itu kerana insaf jika ia berlarutan dan tidak dibendung, akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana.
Baru-baru ini tular di media sosial, video berdurasi 3 minit 24 saat visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di kiri dan kanan beliau.
Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk dram (angin) dengan muzik latar yang kuat.
Dr Afifi telah dimasyhurkan sebagai Orang Kaya Delapan Perak yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya Paduka Iman Paduka Tuan pada 5 November 2018.
#Dr Afifi al-Akiti
#penasihat agama Sultan Perak
#Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan
#Pensyarah Pusat Islam