Pengundian awal PRK Parlimen Kimanis hari ini

Bernama
Januari 14, 2020 09:00 MYT
Pengundi terawal (dari kiri) pesara polis Awang Taba Awang Tengah, Koperal Iswandy Ladi dan Koperal Redond Sadong menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat selepas mengundi awal di Bilik Gerakan Balai Polis Membakut hari ini. --fotoBERNAMA
Satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini mula dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.
Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.
SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.
Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 18 Jan ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.
SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Jan.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bongawan dan Membakut - dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.
Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.
-- BERNAMA
#Balai Polis Membakut #Barisan Nasional #calon #DUN Bongawan #DUN Membakut #Kimanis Memilih #Parlimen Kimanis #Parti Warisan Sabah #pengundian awal #peti undi #pilihan raya kecil #polis #PRK Kimanis #Suruhanjaya Pilihan Raya
;