Pengundi tegar UMNO di Terengganu seakan beri isyarat beralih kepada PN - Kajian Ilham Centre

Irfan Faruqi
Ogos 1, 2023 22:06 MYT
Prof. Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata, pengundi-pengundi itu sedang menunggu penjelasan pucuk pimpinan dan berada dalam mod tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.
KUALA LUMPUR: Pengundi-pengundi tegar UMNO menunjukkan isyarat sedia untuk memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan parti Melayu itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penyelidikan ILHAM Centre, Prof. Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata, pengundi-pengundi itu sedang menunggu penjelasan pucuk pimpinan dan berada dalam mod tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.
“Buat masa sekarang, pengundi-pengundi teras UMNO masih berada dalam keadaan terumbang-ambing pemikirannya... ke mana mereka hendak pergi. Ini kerana, sebelum ini diberitahu naratifnya adalah tidak boleh bersama dengan PH dan DAP, tetapi sekarang UMNO dan PH bersama.
“Sebahagian mereka masih berada dalam keadaan tunggu dan lihat. Ramai lagi pengundi UMNO yang belum membuat keputusan, dan sebahagiannya telah menunjukkan tanda-tanda, jika tidak ada sebarang rawatan, perubahan dan percaturan baharu, mereka sudah memberi isyarat akan beralih (undi) kepada PN.
"Ini data kami sehingga hari penamaan calon. Mungkin pada hari-hari semasa berkempen situasi mungkin berubah,” katanya semasa ditemu bual dalam program Agenda AWANI.
Yusri menjelaskan, dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan corak pengundian diantara tiga gabungan besar parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berbeza-beza.
Menurutnya, corak pengundian paling konsisten adalah dalam kalangan penyokong PH dan diikuti oleh penyokong PN. Manakala penyokong BN merupakan kumpulan pengundi yang mempunyai corak pengundi yang paling tidak konsisten.
Oleh itu, beliau berpandangan keputusan yang dibuat oleh pengundi tegar UMNO-BN semasa hari pengundian nanti akan memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya.
Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri termasuk Terengganu dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu adalah pada 12 Ogos 2023.
#Agenda Awani #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #PRN #pilihan raya negeri
;