Pengundi, parti politik Sarawak sambut baik 9 Mei cuti umum
Bernama
April 11, 2018 05:51 MYT
April 11, 2018 05:51 MYT
Pengundi dan parti politik di Sarawak menyambut baik pengumuman menjadikan 9 Mei sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan pemilih keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Sebelum pengumuman itu yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), pengundi dan parti politik di Sarawak menyuarakan ketidakselesaan mereka apabila 9 Mei (Rabu) dipilih sebagai hari mengundi bagi PRU14.
Penganalisis politik veteran Datuk Peter Minos berkata pengumuman cuti itu akan membolehkan pengundi yang bekerja atau tinggal di Semenanjung dan Sabah pulang ke kampung halaman serta rumah panjang masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Minos juga berharap majikan akan memberi pelepasan atau membenarkan pekerja masing-masing bercuti pada 8 dan 10 Mei.
Mengulas tentang tempoh berkempen 11 hari ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 28 April hingga 9 Mei, Minos yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, berkata tempoh tersebut adalah singkat bagi parti dan calon yang bertanding untuk berkempen dan mengemukakan idea kepada pemilih.
Sementara itu, setiausaha agung Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Anthony Nais ketika dihubungi Bernama berkata parti itu menyambut baik pengumuman 9 Mei sebagai cuti umum.
Katanya, langkah itu dilihat sebagai adil dan demokratik.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Ching Jen dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang bersependapat adalah wajar kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum.
Sementara itu, mengulas tempoh berkempen 11 hari, aktivis sosial Datuk Zain Mohdzar berkata ia adalah mencukupi bagi parti pemerintah dan pembangkang.
-- BERNAMA