Pengundi muda corakkan politik Malaysia, perlu bijak buat keputusan - PM Anwar

Bernama
Ogos 5, 2023 18:16 MYT
Anwar Ibrahim bercakap pada Program Temu Anwar Bicara Pendidikan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, hari ini. -- fotoBERNAMA
KEPALA BATAS: Pengundi muda yang berusia 18 hingga 25 tahun, mempunyai pengaruh kuat dalam mencorakkan politik negara sekali gus berupaya menentukan masa depan Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sehubungan itu golongan muda harus membuat keputusan bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bagi menentukan masa depan negara dan golongan belia negara ini cerah.
"Sebab itu anak-anak harus fikir untuk menentukan corak politik Malaysia ini, corak yang mana, corak yang aman, merangkul semua kaum, ada dasar ekonomi yang jelas, menarik pelaburan kerana itu masa depan anak-anak.
"Jadi, anak-anak ambil keputusan yang bijak, anda yang tentukan apa yang terbaik untuk negara," katanya ketika berucap di hadapan 1,500 pelajar pada program Temu Anwar, Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata anak-anak muda perlu teguh untuk menghentikan segala hinaan yang melibatkan kaum dan agama, agar amalan hidup sebagai keluarga yang harmoni terus kukuh dalam kalangan rakyat, sekali gus menyelamatkan negara ini.
Perdana Menteri menjelaskan Kerajaan Perpaduan sentiasa bekerja kuat untuk membawa pelaburan asing ke negara ini bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.
"Kita kerja keras, bandingkan tiga, empat tahun dahulu, mana ada pelaburan, mana ada perubahan dalam pendidikan seperti ini, mana ada komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti sekarang.
"Mana ada penyelesaian berpuluh tahun masalah tandas. Sekarang - Alhamdulillah kita miliki kerajaan yang ambil berat mengenai anda," katanya dengan mendapat tepukan gemuruh pelajar matrikulasi yang hadir.
Pemimpin nombor satu negara itu berkata beliau mahu buktikan Malaysia mampu menjadi negara gemilang dengan memiliki anak-anak generasi muda selaras dengan konsep MADANI yang diketengahkan kerajaan pimpinannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #PRN #pengundi muda #mencorakkan politik negara
;