Pengundi atas pagar beri cabaran kepada parti

Astro Awani
Januari 17, 2013 14:35 MYT
Lanskap politik negara yang memasuki fasa akhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ketiga belas menyaksikan jumlah pengundi atas pagar yang besar.
Ini sekaligus menjadi cabaran besar kepada parti-parti politik dalam menguruskan isu serta persepsi yang bersarang di pemikiran pengundi.
Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid, dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, senario fasa akhir lanskap politik menuju pilihan raya umum mendesak parti-parti politik dilengkapi strategi pengurusan isu serta persepsi yang mantap.
“Apabila hampir kepada pilihan raya umum, semakin banyak isu yang akan ditimbulkan dan mereka akan didorong oleh isu, bila semakin banyak isu yang timbul, mereka akan fikir sesebuah parti mampu untuk menyelesaikannya. Oleh itu, mereka akan memberikan undi kepada parti. Jumlah itu akan berkurangan apabila semakin hampir kepada pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Pra PRU-13, Siapa Jadi Pilihan anjuran Majlis Profesor Negara pada Khamis.
Beliau juga meramalkan gelanggang pilihan raya umum ke-13 menyaksikan majoriti pengundi cenderung memilih calon berbanding parti.
Faktor calon mendominasi sikap pengundi berikutan peningkatan tahap kematangan dan kefahaman politik dalam masyarakat.
Menyentuh tahap celik politik masyarakat di Malaysia pula, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Dr. Shamsul Amri Baharuddin menyifatkan ia akan lebih terarah kepada persepsi berbanding kefahaman konsep serta idea politik.
#Majlis Profesor Negara #profesor datuk seri dr syed arabi idid #wacana pra pru13
;