Pengumuman tambah baik Dana Kandungan Digital bulan depan - Fahmi
Bernama
Februari 26, 2023 16:59 MYT
Februari 26, 2023 16:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital dijangka mengumumkan penambahbaikan Dana Kandungan Digital menjelang Hari Seniman Negara bulan depan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia bertujuan memastikan dana itu dimanfaatkan sepenuhnya bukan hanya menghasilkan karya yang disegani tetapi juga pengkarya dan pelakon termasuk golongan veteran dapat terlibat dalam proses penghasilan karya tersebut.
"Ini antara perkara yang sedang diusahakan," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pelakon dan pelawak veteran Ebby Yus di Kampung Baru di sini hari ini.
Beliau berkata Hari Seniman Negara dirai pada 22 Mac namun sambutannya mungkin diawalkan selepas mengambil kira ketibaan bulan Ramadan.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan RM102 juta disediakan untuk Dana Kandungan Digital bagi mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.
Ditanya mengenai pengagihan dana itu, Fahmi berkata tiga agensi utama akan bertanggungjawab iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) dan MyCreative Ventures.
"Mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan ketiga-tiga agensi itu," katanya sambil menambah agensi terbabit mempunyai skop dan bidang tugas berbeza.
Mengenai pelakon Ebby Yus, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, beliau berkata biarpun baru keluar dari hospital awal bulan ini, pelakon itu menunjukkan semangat yang kental untuk terus berkarya.
"Dari situ kita akan bincang apa yang boleh diusahakan sama ada melalui Finas atau Jabatan Penyiaran serta perkara yang boleh diikhtiarkan," katanya.
Semasa kunjungan itu, Fahmi menyampaikan sumbangan Finas dan peribadi beliau kepada Ebby Yus.
Ebby Yus, yang menderita pelbagai penyakit termasuk lemah jantung, buah pinggang, kencing manis dan masalah saraf, pula berkata beliau sangat menghargai keprihatinan Fahmi yang sudi menziarahinya di rumah.
Katanya beliau masih ingin bekerja selagi terdaya dan jika keadaan kesihatan mengizinkan.
-- BERNAMA