Pengumuman Sarawak berpendapatan tinggi bukti ekonomi negeri membangun dengan baik - Abang Johari

Bernama
Julai 7, 2023 17:41 MYT
Abang Johari berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan rancangannya untuk membangunkan ekosistem ekonomi rakyat di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030. - Gambar fail
KOTA SAMARAHAN: Pengumuman Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia baru-baru ini adalah berdasarkan statistik data ekonomi, sekali gus memberi petunjuk ekonomi negeri ini sedang membangun dengan baik, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Biarpun ada pihak yang mempersoalkan status itu untuk Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri akan tetap meneruskan rancangannya untuk membangunkan ekosistem ekonomi rakyatnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
"Pendapatan kita telah melebihi garisan (negeri berpendapatan tinggi) Bank Dunia. Sebab itu mereka berpendapat bahawa Sarawak sekarang adalah negeri berpendapatan tinggi.
"Tiga perkara (penting untuk meningkatkan pendapatan) adalah pembangunan bakat, kedua;infrastruktur asas dan ketiga; teknologi. Jadi kalau kita sudah ada asas yang kuat, makapada 2030 pendapatan kita dan keadaan hidup masyarakat akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Al Malik di sini hari ini.
Semalam, ahli ekonomi utama Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi menerusi hantaran di akaun Twitternya memaklumkan Sarawak berjaya mencapai status negeri berpendapatan tinggi, dengan pendapatan negara kasar negeri itu telah melebihi ambang pendapatan tinggi AS$13,205 (RM61,500).
Berdasarkan hantaran itu, negeri lain yang turut dikategorikan sebagai negeri berpendapatan tinggi adalah Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan.
Menurut Aspurva, laporan itu berdasarkan penukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.
-- BERNAMA
#Sarawak #pendapatan tinggi #Abang Johari Tun Openg #statistik data ekonomi #rakyat Sarawak
;