Pengumuman MH370: Perasaan anggota keluarga bercampur baur
Bernama
Januari 29, 2015 16:44 MYT
Januari 29, 2015 16:44 MYT
Maira Elizabeth, anak perempuan Ketua Pramugara Andrew Nari yang bertugas di dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, sering meneguhkan semangatnya sebelum pengumuman tentang
nasib pesawat yang hilang itu dibuat.
Maira, menerusi akaun twitter @Maira Elizabeth berkata:"mungkin saya boleh menerima hakikat bahawa mereka tidak akan kembali, namun keadilan itu satu kemestian bagi keluarga MH370".
Beliau menerima kata-kata semangat daripada pengikut twitter itu termasuk daripada @vineet1489: "Bertabahlah. Mudah-mudahan keadaan akan jadi lebih baik, lambat atau cepat".
Daripada seorang lagi pengikut, @FrankieEddy: "Tuhan maha hebat, berpegang teguhlah kepada agama kamu. Perkara hebat akan berlaku. Penantian itu sememangnya sukar namun akhirnya kebahagiaan akan datang jua".
Maira seringkali menghantar mesej tweet tentang bapanya sejak pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas.
Terdahulu, beliau turut menghantar mesej tweet "Tuhan tahu bagaimana perasaanku setiap kali ada pengumuman atau perisytiharan daripada kerajaan tentang MH370..."
Sementara itu, Intan Maizura Othman, isteri seorang anak kapal Mohd Hazrin Hasnan, menerusi akaun Instagramnya menyatakan kesal kerana tidak dimaklumkan tentang pengumuman khas berkaitan perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370.
Beliau sebaliknya mengetahui tentang pengumuman oleh Jabatan Penerbangan Awam yang dijangka pada 3.30petang ini di sini menerusi media.
"Terima kasih kepada wartawan yang sudi mengupdate (mengemas kini) kami tentang announcement (pengumuman) yang penting ini...
"Begitulah berakhirnya kisah nyawa 239 krew dan penumpang MH370 tanpa sebarang bukti ke mana dan apa terjadinya kepada mereka.
"Semoga mereka yang dianiaya ini dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah", katanya. Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, kebanyakannya warganegara China hilang semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lepas. Penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.
Usaha mencari pesawat itu dilakukan di selatan Lautan Hindi dan diketuai oleh Australia.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan laporan interim berhubung hasil siasatan berkaitan Penerbangan MH370 akan dikeluarkan pada 7 Mac.