Pengumuman Kedah mengejutkan, Kelantan tidak akan tergopoh-gapah umum penemuan REE - Mohd Amar

Muhafandi Muhamad
Disember 29, 2020 13:13 MYT
Menurut Mohd Amar, kerajaan Kelantan mengambil sikap cermat, berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah atau teruja untuk mengumumkan perkara seumpamanya. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung penemuan mineral jenis 'rare earth elements' (REE) di negeri itu awal bulan ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kelantan mengambil sikap sebaliknya walaupun menyedari bahan berkenaan turut terdapat dalam bumi Kelantan.
Kerajaan Kelantan katanya mengambil sikap cermat, berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah atau teruja untuk mengumumkan perkara seumpamanya.
“Kita kena cermat benda-benda begitu.. Ada banyak mineral di Hulu Kelantan, besi dan sebagainya di Gua Musang, Jeli dan sebagai, saya pun tahu.
“Saya terkejut, secara jujur saya terkejut kerajaan (negeri Kedah) buat pengumuman. Terkejut saya. Percaya bukan hanya Kelantan dan Kedah sahaja, saya percaya semua negeri ada unsur REE cuma belum teroka. Tahun lepas lagi kita ada maklumat cuma kita break, nak settle dahulu dengan (kerajaan) Pusat dulu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Tambahnya, tidak dinafikan, Kelantan juga kaya dengan pelbagai jenis mineral termasuk besi dan REE itu di pedalaman Kelantan.
Ianya berdasarkan kajian dan carigali yang dilaksanakan oleh Jabatan mineral dan agensi berkaitan.
Bagaimanapun katanya, jumlah dan jenis mineral itu tidak diketahui secara terperinci namun atas faktor keselamatan, aspek perundangan, kuasa negeri dan Pusat dan sebagainya, kerajaan Kelantan memutuskan untuk tidak menghebohkan.
Apa yang penting katanya kerajaan negeri dan Pusat berbincang mencari jalan dan langkah tindakan yang perlu dilakukan.
Katanya lagi, setakat ini tiada dasar yang jelas dari kerajaan Persekutuan berhubung sumber bumi.
Untuk itu Kelantan mengambil sikap tunggu dan semua permohonan syarikat untuk meneroka sumber bumi di Kelantna telah ditolak kerajaan negeri.
Sebelum ini kerajaan Kedah mengumumkan telah meluluskan permit untuk meneroka mineral REE yang dianggarkan bernilai 60 bilion.
Kedah lulus permit teroka mineral
#Mohd Amar Nik Abdullah #Muhammad Sanusi Md Nor #Gua Musang #Astro Awani #keselamatan #Menteri Besar #REE #mineral
;